JON Coupland bersama Proton Saga Black Knight Edition.
JON Coupland bersama Proton Saga Black Knight Edition.
Lizam Ridzuan


DI United Kingdom (UK) terdapat sebuah acara menghargai kenderaan yang tidak popular, namun mempunyai keunikan tersendiri.

Festival of the Unexceptional: A Concours de l'Ordinaire diadakan setiap tahun sejak 2014 mengumpulkan model unik yang semakin dilupakan.

Baru-baru ini, ia dilangsungkan di Grimsthorpe

Castle yang mengetengahkan kenderaan sebegitu daripada segmen klasik dan vintaj keluaran 1960-an sehingga 1990-an.

Menarik ialah juara untuk edisi 2021 disandang oleh Jon Coupland, 30, menerusi kereta Proton Saga 1.5GL Black Knight Edition keluaran tahun 1989.

Vroom Harian Metro berkesempatan menemubualnya berkata, dia sememangnya peminat dunia automotif sejak kecil dan membeli model Proton itu pada 2019.

"Ia adalah model Proton kedua saya dan selain menggemari rekaannya, ia juga kereta yang 'rare' untuk pasaran di UK.

RUANG dalaman seakan-akan model baharu.
RUANG dalaman seakan-akan model baharu.

"Ini juga kali pertama saya menyertai acara unik ini dan muncul juara keseluruhan sememangnya umpama mimpi jadi nyata," katanya yang bertugas sebagai pegawai polis.

Katanya, selain Black Knight Edition dia turut memiliki dua lagi model iaitu Proton Saga 1.5 SE LE dan Proton Iswara 1.3 GLS.

Proton Saga edisi Black Night itu hanya dikeluarkan 201 unit di pasaran UK dan yang tinggal kini hanya sebuah milik Jon.

"Cabaran utama memiliki model ini di UK ialah kesukaran mendapatkan alat ganti Proton dan saya perlu memesannya dari Malaysia,

"Untuk penyelenggaraan dan servis kebetulan ayah saya seorang mekanik yang berpengalaman selama 45 tahun banyak membantu menguruskan kereta ini," katanya yang tinggal di Boston dalam daerah Lincolnshire.

PIALA kemenangan dan barangan cenderahati khas Proton dibeli daripada eBay.
PIALA kemenangan dan barangan cenderahati khas Proton dibeli daripada eBay.

Katanya, model Proton mempunyai karakter tersendiri, menarik dan tahan lasak, namun sejak 2014 ia tidak lagi dipasarkan di sana dan jenama itu semakin dilupakan.

Namun, dari sudut lain ia adalah antara kriteria utama model ini dipilih sebagai pemenang acara itu selain kekal ciri standard dan satu-satunya model yang masih wujud dalam pasaran.

Jon kini mahu menambah koleksi kenderaan Protonnya dan sedang merancang mendapatkan model impian (Waja) yang dijual pada harga £800 (RM4,600).

Festival of the Unexceptional: A Concours de l'Ordinaire 2021 menampilkan lebih 500 kenderaan daripada dua kategori iaitu All Classic dan Rare Classic sebanyak 50 unit dipilih untuk penjurian akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:45 AM