PROTON Iriz dan Persona 2022 Baharu.
PROTON Iriz dan Persona 2022 Baharu.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Proton melancarkan model Proton Iriz dan Persona 2022 Baharu dengan reka bentuk luaran, dalaman, warna dan ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, sejak diperkenalkan, kedua-dua model ini memenangi hati ramai peminat.

"Untuk edisi terbaharu 2022 ini Proton tampilkan perubahan reka bentuk dan penambahan varian Active untuk model Iriz dengan perubahan pada ruang kabin dengan sistem infotainment untuk keselesaan dan keterhubungan lebih baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perubahan pada Iriz dan Persona ini termasuklah rekaan bampar dengan gril corak Infinite Weave dan Ethereal Bow baharu, logo Proton terkini, lampu hadapan LED dengan fungsi automatik, lampu belakang bersepadu baharu, bumbung hitam dan rim aloi bersaiz 16 inci.

Iriz Active tambah lebih sporty dengan rel bumbung baharu serta pengenalan warna Citric Orange dan Passion Red, serta Persona dengan warna Space Grey .

Bahagian kabin paling menyerlah ialah dengan sistem infotainment bersaiz 8 inci 'terapung' dengan fungsi arahan suara untuk mengawal penyaman udara dan tingkap sebelah pemandu.

Ia juga dengan saluran penyaman udara rekaan baharu dengan kawalan paparan digital dan penapis udara N95, konsol tengah terdapat ruang simpanan dan tempat rehat lengan serta 6 slot USB.

Selain itu, Iriz 2022 juga dengan kemasan warna merah dan sulaman Active pada kerusi hadapan, pintu dan karpet serta jahitan merah pada roda stereng dan tali pinggang keledar serta pedal sukan aluminium.

Untuk Persona dengan tempat duduk dan kemasan pintu leatherette, warna coklat sama seperti yang diperkenalkan pada Proton X70.

Proton Iriz 2022 dijual pada harga bermula RM40,300 hingga RM54,000 (Active CVT) dan Persona 2022 pada harga RM45,200 hingga RM54,900 (1.6L Premium CVT).

Semua harga atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan boleh ditempah secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:54 AM