Lizam Ridzuan

Kehadiran jentera moden klasik kini semakin diminati kerana timbul minat dalam golongan muda dengan gaya ala retro.

Tidak terkecuali model Ducati Scrambler buatan Itali.

Ducati Scrambler pernah dipasarkan di Amerika Syarikat (AS) sekitar 1962 sehingga 1972 sebelum muncul dengan rekaan dan konsep baharu pada 2014.

Nama 'Scrambler' itu sendiri sudah cukup lasak dan dengan ciri 'roadster', apakah sebenarnya hala tuju segmen ini?

Untuk merungkainya, Vroom minggu ini menunggang uji Ducati Scrambler Icon Baharu yang diperkenalkan pada 2019.

Ia adalah model dipertingkatkan dengan beberapa ciri terkini yang ditawarkan sejak model Scrambler mula memasuki pasaran negara sekitar 2015.

JENTERA Scrambler Ducati.
JENTERA Scrambler Ducati.

Melihat kepada rekaan luaran, ia mengambil konsep asas jentera scrambler itu sendiri dengan elemen klasik dan moden menjadikan ia tampil unik.

Antara elemen yang kekal ialah lampu hadapan bulat elemen gaya klasik, namun dengan teknologi terkini LED dan lampu nyalaan siang (DRL).

Ia tampil dengan gaya baharu membabitkan bingkai bentuk 'X'.

LAMPU hadapan dengan bingkai X.
LAMPU hadapan dengan bingkai X.

Lampu membelok juga kini dengan LED termasuk lampu belakang.

Ciri lain ialah rim aluminium 10 jejari baharu berwarna hitam bersaiz 18 inci pada hadapan dan 17 inci pada belakang dengan tayar Pirelli MT 60 RS.

Tampil berbeza juga ialah pelana baharu yang lebih rata dan selesa untuk penunggang dan pembonceng.

Untuk sistem paparan, meter digital penuh LCDnya tampil ringkas.

Ia datang dengan laras indikasi kedudukan gear dan tahap baki bahan api bagi kemudahan penunggang merancang perjalanan.

Selain jelas dan mudah dilihat, ia juga datang dengan Sistem Multimedia Ducati yang boleh disambungkan ke telefon pintar dengan pakej tambahan.

METER digital LCD.
METER digital LCD.

Untuk model baharu ini, ia disertakan dengan kawalan klac hidraulik dan tuil boleh laras dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh dua saluran Bosch serta angkup Brembo.

Kerangka besi tiub Trellis, suspensi hadapan terbalik Kayaba 41 milimeter (mm), penyerap hentakan belakang tunggal Kayaba dengan larasan prabebanan pula cukup untuk keselesaan pengendali menempuh perjalanan.

Ducati Scrambler ini didatangkan dengan enjin 803cc, L-Twin Desmodromic, menjana 73 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm dan tork 67Nm pada 5,750 rpm.

Melalui enam kelajuan manual, pacuan rantai, ia juga menawarkan tukaran gear lancar dan responsif.

Menunggang Ducati Scrambler ini memberikan penulis pengendalian yang bukan sahaja mudah malah sesuai buat penunggang baharu.

LENGAN hayun dengan penyerap hentakan Kayaba.
LENGAN hayun dengan penyerap hentakan Kayaba.

Namun ia didatangkan dengan tujahan tork agak responsif sebaik pendikit dipulas dan perlu berhati-hati untuk tujuan itu.

Kedudukan menunggang yang tegak dan santai adalah kelebihan utama Scrambler malah selesa untuk perjalanan jauh.

Malah, pengendalian jentera seberat 189 kilogram ini untuk menempuh kesesakan jalan raya di tengah ibu kota juga mudah.

Ketinggian pelana pada 798mm serta opsyen 778mm (low seat) memberikan kelebihan buat mereka yang berketinggian sederhana untuk menikmati motosikal ini.

Tangki bahan api 13.5 liter pula membolehkan jentera ini ditunggang sejauh 250km, namun bergantung kepada corak tunggangan.

Melayan selekoh juga tidak terlalu teknikal selain jentera terasa ringan, hanya condongkan badan dan ia akan meluncur dengan stabil.

Melalui sejukan udara, sudah pasti kepanasan enjin tidak terasa ketika motosikal ini bergerak, namun jika berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk tempoh agak lama, akan terasa sedikit kepanasan pada kaki.

ENJIN  803cc berprestasi.
ENJIN 803cc berprestasi.

Secara keseluruhan, Ducati Scrambler Icon ini adalah motosikal yang memberikan anda keseronokan menunggang walau ke mana sahaja destinasi anda.

Posisi menunggang yang santai tidak meletihkan terutama untuk perjalanan jarak jauh malah untuk perjalanan dekat, juga terasa mudah.

Malah di bawah tempat duduk terdapat soket pengecas USB bagi kemudahan mengekalkan kuasa bateri pada telefon pintar dan gajet rngkas lain.

Selain gaya urban, ia juga boleh dibawa ke laluan lasak sederhana bagi memberi pengalaman yang berbeza.

Paling penting, ia adalah motosikal gaya hidup yang boleh dipadankan dengan fesyen kegemaran atau pilihan daripada rangkaian jenama Ducati Scrambler itu sendiri.

Untuk pasaran Malaysia, Ducati Scrambler Icon diedarkan oleh Next Bike Sdn Bhd.

Ia didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu 62 yellow dan Atomic Tangerine yang dijual pada harga RM52,900 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:55 AM