HM Gigital

ISUZU yang berpengalaman lebih 57 tahun dalam penghasilan trak pikap bukan saja mencipta kenderaan untuk ketahanan mobiliti bagi tujuan komersial malah kemampuan menjelajah permukaan lasak dengan ciri praktikal.

Antara model yang dekat di hati pengguna di negara ini ialah Isuzu D-Max Serba Baharu yang tampil dengan gaya yang berbeza dan prestasi lebih baik.

Generasi ketiga itu dilancarkan ke pasaran tempatan baru-baru ini.

Ia antara kejuruteraan termaju pernah dihasilkan untuk segmen trak pikap oleh Isuzu yang merangkumi aspek teknologi elektronik, keselesaan dan keselamatan terbaik.

ISUZU D-Max Serba Baharu tambah gaya tampil premium.
ISUZU D-Max Serba Baharu tambah gaya tampil premium.

Tujuh varian ditawarkan melalui dua pilihan enjin iaitu model Single Cab (1.9 liter dan 3.0 liter), Standard 4x4 manual atau automatik (1.9 liter), Premium 4x4 (1.9 liter dan 3.0 liter) dan paling tinggi, X-Terrain dengan enjin 3.0 liter 4x4.

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji media untuk model tertinggi iaitu varian X-Terrain ini ke sebuah resort di puncak bukit yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Antara laluannya ialah pendakian curam dan laluan berselekoh.

Melihat kepada rekaan luaran, ia tampil lebih menarik dan gaya ranggi. Ia boleh dilihat melalui gril signatur Isuzu yang kini lebih lebar dan besar.

Ia dilengkapi lampu hadapan Bi-LED projektor dengan fungsi 'Follow Me Home', lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang kombinasi LED.

Ia juga dipadankan dengan rim aloi 18 inci dengan tayar All-Terrain. Bampar belakang disepadukan dengan warna kerangka manakala rel bumbung dan cermin sisi automatik dengan warna hitam menambah gaya rangginya.

Pintu kargo juga dilengkapi 'Tailgate Assist' bagi memudahkan usaha membuka dan menutupnya.

VARIAN tertinggi D-Max X-Terrain.
VARIAN tertinggi D-Max X-Terrain.

Bukan itu saja, ciri praktikalnya ditambah dengan kehadiran pelantar yang boleh ditarik sekali gus memudahkan urusan untuk mengambil barangan dengan pantas.

Menjengah ke ruang dalaman D-Max, apa yang dapat dilihat, ia seakan-akan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang lebih premium dan selesa.

Antara perubahan yang ketara ialah pada bahagian konsol tengah. Ia 80 milimeter (mm) lebih tinggi serta 30mm lebih lebar bagi memudahkan capaian.

Ia juga datang dengan meter analog dan digital e-Lumax TFT bersaiz 4.2 inci dengan paparan warna MID untuk maklumat perjalanan termasuk paparan fungsi Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS).

Ia juga dilengkapi sistem infotainmen dengan skrin sesentuh bersaiz sembilan inci.

Untuk bunyi akustik berkualiti, D-Max X-Terrain ini didatangkan dengan lapan pembesar suara 'Live Surround' dan penyaman udara dua zon automatik serta corong khas untuk penumpang belakang.

Cermin pandang belakang 'Auto Dimming' pula mengurangkan silau cahaya kenderaan dari belakang.

Balutan kulit warna coklat pada kerusi menambah ciri premium kenderaan ini.

Tuil gearnya lebih pendek dan dilengkapi indikasi kedudukan bercahaya sekali gus memudahkan pertukaran gear terutama pada cuaca gelap.

Untuk varian D-Max X-Terrain, ia dikuasakan dengan enjin 3.0 liter Blue Power VGS Turbo Intercooler diesel DOHC yang menjana 190PS pada 3,600 rpm dan tork 450Nm pada 1,600 hingga 2,600 rpm.

Ia juga dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik dan pilihan mod manual.

Sepanjang sehari pemanduan, penulis merasakan enjinnya semakin lancar dengan tork yang responsif terutama untuk memintas kenderaan pada laluan dua hala.

Selain itu, jika merentasi laluan lasak, varian ini dilengkapi dengan ciri 'Terrain Command' yang membolehkan pemandu memilih pacuan roda di antara 2WD, 4WD-High dan 4WD-Low yang boleh ditukar kurang dalam tempoh sesaat.

TAMPIL gaya sporty.
TAMPIL gaya sporty.

Melalui casis yang dibina di atas Isuzu Dynamic Drive Platform, ia diperkemaskan untuk lebih kukuh serta meningkatkan kestabilan dan keselamatan yang diuji sejauh empat juta kilometer sebelum dipasarkan.

Penulis dapat rasakan pengendalian D-Max ini juga stabil pada jalan raya dan selekoh serta membantu mengurangkan olengan yang terdapat pada kenderaan trak pikap sebegini.

Secara keseluruhan, Isuzu D-Max X-Terrain ini menampilkan bukan saja rekaan trak pikap lebih bergaya malah dengan ciri teknologi serta keselamatan yang lebih baik.

Sebagai varian tertinggi dengan janaan kuasa enjin baharu 3.0 liter, ia juga datang dengan elemen keselamatan lengkap yang mendapat penarafan lima bintang untuk Program Penilai Kenderaan Baharu (NCAP) Asean.

KERUSI balutan kulit selesa.
KERUSI balutan kulit selesa.

Antaranya ialah tujuh beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Sistem suspensi hadapan datang dengan 'Double Wishbones', Coil Spring dan penstabilan dengan Penyerap Hentakan Gas.

Bahagian belakang pula dilengkapi spring dedaun 'Semi-Elliptical' untuk disesuaikan dengan bebanan, permukaan laluan atau pemanduan biasa.

Dengan isian 76 liter diesel, ia mampu bergerak sejauh 800km namun bergantung kepada corak, permukaan dan bebanan yang dibawa.

SISTEM infotainmen dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
SISTEM infotainmen dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Oren Valencia dan Saphhire Blue.

Isuzu D-Max 3.0L 4x4 AT X-Terrain ini dijual pada harga RM141,938 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama tujuh tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Varian Isuzu D-Max Serba Baharu lain dijual pada harga RM88,599 (1.9L 4x4 Single Cab), RM95,538 (3.0L 4x4 Single Cab), RM99,599 (1.9L 4x4 MT), RM106,999 (1.9L 4x4 AT Standard), RM121,549 (1.9L 4x4 AT Premium) dan RM128,038 (3.0L 4x4 AT Premium) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,00km yang mana lebih dahulu.

ISUZU D-Max Serba Baharu tambah gaya tampil premium.
ISUZU D-Max Serba Baharu tambah gaya tampil premium.

SPESIFIKASI

ISUZU D-MAX X-TERRAIN SERBA BAHARU

Enjin: 2,999 cc Blue Power VGS Turbo Intercooler diesel DOHC

Transmisi: Enam kelajuan automatik dan pilihan mod manual

Kuasa maksimum: 190PS pada 3,600 rpm

Tork maksimum: 450Nm pada 1,600 hingga 2,600 rpm.

Kapasiti petrol: 76 liter

Ciri keselamatan: Tujuh beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantu Mula Bukit (HSA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Isyarat Henti Kecemasan (ESS) dan ADAS.

Harga: RM141,938 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:23 AM