Oleh Lizam Ridzuan

 

 

Sepang: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai pengedar utama motosikal Yamaha di negara ini memperkenalkan model moped prestasi Yamaha Y16ZR Serba Baharu.

  Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Datuk Jim Khor berkata model Yamaha Y16ZR didatangkan dengan perlbagai ciri baharu menampilkan prestasi, gaya dan inovasi.

  "Kami berbangga dapat memenuhi permintaan pasaran dan pelanggan dengan pengenalan model ini dan ia adalah jentera yang berbeza daripada edisi sebelum ini termasuk trenkuasa, rekaan dan komponen mekanikal," katanya.

  Model ini juga dikenali sebagai Yamaha Exciter 155 dilancarkan di Vietnam pada awal tahun ini dan juga diterima baik oleh pelanggan di negara itu.

  Untuk rekaan luaran, ia kini dengan lampu hadapan inspirasi perlumbaan LED  yang dipisahkan untuk pancaran tinggi dan rendah serta lampu belakang lebih bergaya, tirus dan lebih panjang.

 Ia juga dengan meter digital LCD permukaan gelap memaparkan maklumat kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear dan penunjuk VVA.

  Selain sistem kunci pintar ia juga dengan soket kuasa DC 12 voltan dengan maksimum kapasiti 1.0A disediakan serta suis mematikan enjin yang baharu.

 Y16 dikuasakan dengan enjin 155cc VVA, SOHC, empat lejang, empat injap sejukan cecair menjana 17.7 kuasa kuda pada 9,500 rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000 rpm dengan kotak gear enam kelajuan.

  Tangki bahan api 5.4 liter mampu menjangkau jarak perjalanan sehingga 256 kilometer (km) dan kini juga dilengkapi sistem klac 'Slipper & Assist' dan tuas klac lebih rapat 10 milimeter (mm) bagi kemudahan penukaran gear.

  Ciri lain ia dilengkapi dengan brek cakera hadapan 245mm  dua piston serta tempat duduk baru gaya terpisah anti-gelincir untuk penunggang dan pembonceng lebih selesa.

   Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Phantom, Biru Arrow dan Kuning Raging yang dijual pada harga RM10,888 (atas jalan tanpa insurans) dan akan mula berada di pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 31 Mac ini.

YAMAHA Y16ZR Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan.
YAMAHA Y16ZR Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:47 PM