KEKAL gaya kembara dan penjelajahan.
KEKAL gaya kembara dan penjelajahan.
Lizam Ridzuan


MENGUNGGULI perlumbaan lasak Rali Dakar 40 tahun lalu, ia kini diterjemahkan melalui model BMW F 850 GS '40 Years GS Edition' bagi merungkaikan keterujaan yang sama.

Motosikal ini yang diinspirasikan daripada model klasik R 100 GS kekal sebagai model kembara lasak premium yang ditambah dengan ciri termaju.

Dilancarkan ke pasaran tempatan oleh BMW Motorrad Malaysia, ia lengkap dengan pakej 'Comfort', 'Touring', 'Dynamic' dan 'Active' sebagai ciri standard.

Untuk rekaan luaran, ia datang dengan elemen warna menonjol terutama pada bahagian hadapan dengan lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL) serta lampu membelok daripada LED.

Selain pelindung tangan berwarna kuning, ia juga didatangkan dengan rim berwarna emas dan tongkat utama selain fork hitam.

EDISI ulang tahun ke-40 model BMW GS.
EDISI ulang tahun ke-40 model BMW GS.

Pada bahagian tangki, terdapat logo ulang tahun menjadikan ia jentera edisi istimewa yang harus dimiliki.

Bahagian belakang varian ini mengetengahkan gabungan warna kuning dan hitam pada pelana. Ia turut datang dengan rak barangan.

BMW F 850 GS 40 Years GS Edition ini berwarna 'Black Storm Metallic' eksklusif serta dipadankan dengan warna kuning dalam jumlah yang terhad.

Enjinnya masih mengekalkan kapasiti 853cc empat injap dua silinder. Ia mampu menjana kuasa kuda 95hp pada 8,250rpm dan 92Nm pada 6,250rpm.

PANEL meter TFT jelas.
PANEL meter TFT jelas.

Dua komponen aci pengimbang dengan karakter tersendiri untuk kuasa spontan menawarkan kelancaran serta penggunaan bahan api lebih efisien.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan sistem termaju seperti Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) serta Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (Dinamik ESA) untuk pengalaman tunggangan lebih baik ketika selekoh atau pelbagai permukaan lain.

Selain itu, ia juga lengkap dengan 'Riding Modes Pro' untuk Kawalan Brek Enjin Dinamik (DEBC), 'Shift Assistant Pro' dan mod tunggangan boleh dilaras pada pemegang sisi kiri.

ABS Pro pula menawarkan prestasi dan keselamatan lebih tinggi untuk kepuasan tunggangan maksimum.

Panel instrumen pula dilengkapi skrin TFT 6.5 inci, ia sangat jelas dalam pelbagai cuaca.

Untuk tunggangan jarak jauh, jentera GS ini dibantu fungsi bantuan jelajah dengan Kawalan Pelayaran dan pemegang peranti navigasi .

PELINDUNG tangan gaya baharu.
PELINDUNG tangan gaya baharu.

Ia juga hadir dengan ciri tunggangan tanpa kunci serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Untuk pasaran Malaysia, BMW F 850 GS 40 Years GS Edition dijual pada harga RM85,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar serta Program Bantuan di Jalanan selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 7:00 AM