MYVI kekal model paling laris di Malaysia.
MYVI kekal model paling laris di Malaysia.
Lizam Ridzuan


INDUSTRI automotif di Malaysia melalui tempoh mencabar sepanjang 2020 apabila pandemik Covid-19 menular seterusnya membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Ia memberi kesan bukan sekadar kepada pengeluar kenderaan malah keseluruhan rangkaian industri termasuk pusat jualan, pengedar, vendor dan pembekal komponen.

Bagaimanapun, pelancaran model kenderaan baharu dan peningkatan tetap berjalan seperti dijadualkan, namun mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan atau dijalankan secara maya.

Kebenaran beroperasi serta pelan insentif diperkenalkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu turut membantu memacu pertumbuhan industri dan pasaran automotif di negara ini walaupun dalam tempoh PKP.

Vroom meninjau prestasi jualan kenderaan pada 2020 serta lima jenama dan model paling laris di Malaysia.

JUALAN 2020

Jika melihat kepada prestasi jualan 2020, ia melebihi ramalan awal 470,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan jualan keseluruhan industri (TIV) direkodkan ialah

529,434 unit yang berjaya didaftarkan.

SAGA model pilihan utama jenama Proton.
SAGA model pilihan utama jenama Proton.

Walaupun berlaku penurunan 74,847 unit atau 12.4 peratus berbanding 2019 iaitu 604,281 unit, pada suku ketiga 2020, jualan melonjak mencapai 184,121 unit. Ia lebih tinggi berbanding bagi tempoh sama 2019 iaitu 161,296 unit.

Ia kesan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diumumkan kerajaan bermula 12 Jun 2020 melalui insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020.

Bagi memacu jualan dan perkembangan industri automotif, kerajaan mengumumkan pada 29 Disember 2020 yang pengecualian SST dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

Melalui Penjana pengecualian cukai jualan 100 peratus diberikan untuk kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus pengecualian untuk kenderaan import sepenuhnya (CBU).

Secara keseluruhan, segmen kenderaan penumpang dan komersial merosot 12.6 peratus kepada 69,212 unit serta 10.4 peratus dengan pendaftaran sebanyak 5,635 unit sepanjang 2020.

VIOS kini dengan ciri baharu.
VIOS kini dengan ciri baharu.

PENGELUARAN

Untuk pengeluaran kenderaan baharu, penurunan 15 peratus (86,466 unit) kepada 485,186 unit turut direkodkan bagi 2020 berbanding 571,632 unit pada 2019.

Ini berlaku akibat pelaksanaan PKP pada Mac apabila pengeluaran terhenti selama dua bulan. Ia juga seiring dengan prestasi jualan keseluruhan kenderaan lebih rendah pada 2020.

ALMERA tampil menarik.
ALMERA tampil menarik.

RAMALAN 2021

MAA meramalkan jualan kenderaan penumpang adalah 513,000 manakala komersial pula 57,000 unit menjadikan jumlah keseluruhannya 570,000.

Jualan kenderaan penumpang ini dijangka meningkat tujuh peratus iaitu 32,035 unit.

Jualan kenderaan komersial juga dijangka meningkat 18 peratus (8,531 unit) dengan jumlah keseluruhan 40,566 iaitu lapan peratus lebih tinggi berbanding 2020.

MPV Serena S-Hybrid penyumbang kedua terbanyak untuk Nissan di Malaysia.
MPV Serena S-Hybrid penyumbang kedua terbanyak untuk Nissan di Malaysia.

JENAMA DAN MODEL PALING

Melalui semua angka pengeluaran dan jualan ini, apakah jenama dan model yang paling laris di Malaysia?

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh MAA, untuk pengeluar kenderaan, Perodua disenaraikan sebagai pendahulu dengan jumlah jualan tertinggi iaitu 220,163 unit.

Ia diikuti Proton dengan 108,524 unit, Honda (60,468), Toyota (58,501) dan 14,160 bagi Nissan.

Jenama lain kenderaan di negara ini pula menyumbang angka jumlah jualan keseluruhan iaitu 67,618 unit TIV tahun lalu.

Untuk penguasaan pasaran, Perodua mencatatkan 41.6 peratus diikuti Proton (20.5 peratus), Honda (11.4 peratus), Toyota, (11.0 peratus), Nissan (2.7 peratus) dan jenama lain pula 12.8 peratus.

TRAK pikap Hilux kedua tertinggi untuk jualan Toyota.
TRAK pikap Hilux kedua tertinggi untuk jualan Toyota.

Kenderaan penumpang (sedan dan hatchback) terus kekal yang tertinggi dijual dengan 353,312 unit, ia diikuti segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mencatatkan jualan 93,364 unit, kenderaan pelbagai guna (MPV) 33,275 unit dan van tingkap iaitu 1,014 unit.

Selain mengekalkan kedudukan sejak 2019, faktor penawaran produk, kesesuaian harga, kebolehpercayaan jenama dan perkhidmatan selepas jualan terbaik menjadi penyumbang untuk lima jenama ini kekal menjadi pilihan utama pembeli di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:01 AM