MPV dengan enjin 3.5 liter V6
MPV dengan enjin 3.5 liter V6
Lizam Ridzuan


Pada harga RM1.148 juta, kenderaan pelbagai guna (MPV) Lexus LM 350 umpama 'rumah mewah' di atas jalan raya, sesuai buat mereka yang mahukan 'perfection' dan rasa puas memiliki kenderaan mewah premium.

Bukan itu saja, selain luas, ia hanya dilengkapi empat tempat duduk dengan dua di depan dan dua di belakang.

Jangan terkejut kerana ruang kabinnya saja sudah menampakkan umpama ciri penerbangan kelas pertama ke luar negara.

Jika penat, selain penyandar boleh direbah, kerusinya juga berciri Ottoman dengan fungsi urutan bagi keselesaan sepanjang perjalanan.

Bukan itu saja, skrin paparan berdefinisi tinggi (HD) penuh bersaiz 26 inci dengan sistem bunyi Mark Levinson mencipta gema bunyi seakan-akan opera.

Skrin dengan fungsi putar semula dan pilihan ketersambungan bagi kemudahan menonton filem kegemaran atau bermesyuarat di dalam kabin juga boleh dilakukan.

CIRI premium kabin.
CIRI premium kabin.

Bagi lebih privasi, cermin pemisah di antara ruang hadapan dan belakang boleh dinaik turun secara automatik dengan menekan butang tersedia.

Ruang tempat duduk juga dilengkapi tempat menyimpan bahan bacaan serta beg tangan untuk lebih kemas dan rapi.

Menambah kemasan premium, Lexus LM 350 turut didatangkan dengan peti sejuk mini.

Untuk pemandu, anda juga pastri selesa dengan sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci dan fungsi ketersambungan Apple CarPlay juga Android Auto.

Bagi rekaan luaran, MPV ini didatangkan dengan gril 'spindle' dan lampu utama kompak tiga pancaran LED projektor.

BAHAGIAN penumpang umpama kelas pertama penerbangan.
BAHAGIAN penumpang umpama kelas pertama penerbangan.

MPV ini juga dipadankan dengan rim aloi 18 inci kemasan metalik krom.

Lexus LM 350 dijana dengan enjin 3.5 liter V6 yang menghamburkan 296 kuasa kuda dan tork 361Nm bagi tenaga yang berterusan bila diperlukan dengan kotak gear lapan kelajuan yang lancar pada sebarang kelajuan.

Ciri keselamatan terbaik turut ditawarkan bagi model ini membabitkan Sistem Keselamatan Lexus (LSS+), antaranya Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), tujuh beg keselamatan dan Bantuan Pengesanan Lorong (LTA).

Dua warna ditawarkan iaitu hitam dan putih mutiara kristal bersinar.

Lexus LM 350 dijangka menemui pembeli pertamanya pada Mei depan. Untuk pasaran Malaysia tempahan model Lexus LM 350 sudah dibuka yang dijual pada harga RM1,148,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 7:00 AM