KIA Seltos GT. FOTO Amirudin Sahib
KIA Seltos GT. FOTO Amirudin Sahib
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Selepas pra-pelancaran yang diadakan pada tahun lalu, akhirnya Kia Seltos Serba Baharu diperkenalkan secara rasmi oleh pengedar rasminya di negara ini, Naza Kia Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, kenderaan utilti sukan (SUV) dalam segmen-B ini ditawarkan dalam dua varian iaitu EX dan GT Line.

"Kia Seltos Sera Baharu ini bakal bersaing dalam pasaran SUV kompak di negara ini yang menawarkan ciri inovatif serta kemasan material berkualiti tinggi yang juga dilengkapi dengan teknologi dan gaya termaju," katanya melalui pelancaran secara maya, hari ini.

Rekaan luaran model ini diserlahkan lampu hadapan LED tirus dan lampu nyalaan siang (DRL) serta gril radiator signatur jenama KIA dengan kombinasi lampu belakang dan lampu isyarat 3D pelbagai lapisan untuk kecerahan pada sebarang cuaca serta rim aloi 17 inci.

Ruang dalaman dengan sistem infotainment bersaiz 8 inci serta kluster meter 3.5 inci untuk EX dan 7 inci untuk GT Line yang turut menerima Head Up Display (HUD) bersaiz 8 inci.

Kedua-dua varian dengan enjin Gamma 1.6 liter MPI petrol yang menjana kuasa 123PS pada 6,300rpm dan tork maksimum 150.7Nm pada 4,850rpm serta kotak gear transmisi automatik enam kelajuan.

Sistem keselamatan pula membabitkan enam beg keselamatan, Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Isofix.

Empat pilhan warna ditawarkan iaitu Glacier White Pearl, Gravity Grey, Intense Red (EX) dan Intelligency Blue (GT Line) .

Kia Seltos Serba Baharu ini dijual pada harga RM115,888 (EX) dan RM133,888 (GT Line) (semua harga atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 2:46 PM