MODEL Honda Civic 1.8S diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi kegunaan tugasan dan penguatkuasaan.
MODEL Honda Civic 1.8S diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi kegunaan tugasan dan penguatkuasaan.
Lizam Ridzuan

 

 

Honda Malaysia sebagai pengedar utama kenderaan Honda di negara ini mengumumkan penyerahan 16 unit  model Civic 1.8S kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

  Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Toichi Ishiyama berkata ia bakal digunakan sebagai kenderaan penguatkuasaan dan tugasan rasmi kementerian itu dan juga yang pertama kali menggunakan kenderaan Honda.

  "Kami rasa berbesar hati KPDNHEP memilih kenderaan Honda sebagai kenderaan jabatan itu dalam melaksanakan tugasan mereka untuk mempromosi dan mempertahankan hak pengguna dan perdagangan domestik di Malaysia,"

  "Ia penting dalam usaha membangunkan ekonomi negara yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan dalam masa sama menyeru rakyat Malaysia bekerjasama mengatasinya serta kami berharap ekonomi menuju ke arah pemulihan tidak lama lagi," katanya melaui siaran media hari ini.

  Honda Civic Baharu generasi ke-10 diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan pada Februari tahun ini yang menawarkan ciri segmen-D untuk kenderaan segmen-C.

  Ia juga mendahului segmennya setakat Oktober dengan terjual sebanyak 10,400 unit sejak dilancarkan dengan 81 peratus penguasaan pasaran dan menjadi model kedua terlaris untuk Honda di Malaysia.

   Melalui model 1.8L i-VTEC ini menawarkan kuasa 141PS dan tork 174Nm yang menawarkan pengalaman pemanduan dengan prestasi dinamik, bahan api efisien dan rekaan menarik.

  Civic ini juga menawarkan ciri termaju seperti Brek Parkir Elektrik (EPB), 'Walk Away Auto Lock', Penghidup Enjin Kawalan Jauh dan Paparan Audio Termaju bersaiz tujuh inci.

  Selain itu model ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik iaitu enam beg keselamatan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), 'Agile Handle Assist' (AHA), Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek dan Pemegang Brek Automatik (ABH).

  Honda Civic juga diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) ditawarkan dengan tiga varian melalui 1.8S, 1.5TC dan 1.5TC-P yang dijual pada harga bermula RM109,326, RM125,081 dan RM134,934 (harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 1:16 PM