BMW 218i Gran Coupe M Sport serlah gaya dinamik.
BMW 218i Gran Coupe M Sport serlah gaya dinamik.
Lizam Ridzuan


KOMPAK, sporty dan prestasi. Ia elemen utama BMW 218i Gran Coupe M Sport yang baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan.

Ia juga didatangkan dengan ciri premium dan ruang dalaman elegan yang dipadankan dengan teknologi termaju untuk keselesaan serta keselamatan.

Gril 'ginjal' tunggal dalam rekaan tiga dimensi, lampu hadapan dan lampu kabus LED tirus serta pintu hadapan dan belakang tanpa bingkai menjadikan model ini kelihatan cukup menawan.

Model ini dipadankan rim aloi ringan M 819 M Bicolour bersaiz 18 inci dan tayar 'runflat', lampu belakang LED nipis dengan jalur hitam serta pakej M Aerodynamics dengan 'garisan bayang' BMW.

Ruang dalamannya kemas, dilengkapi sistem pancahayaan Boston dan lampu LED menjadikan suasananya lebih menarik.

Ia juga didatangkan dengan roda stereng kulit M, kerusi sport dengan kemasan kulit Dakota selain dua zon penyaman udara.

RODA stereng kulit M Sport.
RODA stereng kulit M Sport.

Elemen BMW Live Cockpit Plus berupa gabungan speedometer dan rpm analog bersaiz 5.1 inci serta skrin 4:3 menegak untuk maklumat seperti kelajuan, sistem bantuan pemandu serta arahan navigasi menambah fungsi moden model ini.

Bagi sistem infotainmen, ia didatangkan dengan skrin sesentuh 8.8 inci.

Pada konsol tengah, ia dilengkapi pilihan gear iDrive controller, kawalan pemanduan dinamik dan butang penghidup enjin.

Ia juga dilengkapi sistem pengecas telefon tanpa wayar.

Rekaan khas 'central tunnel' pula dihasilkan untuk keselesaan penumpang.

PENCAHAYAAN unik kabin.
PENCAHAYAAN unik kabin.

Untuk kuasa, Gran Coupe baharu didatangkan dengan enjin 1.5 liter tiga silinder petrol menjana 140 kuasa kuda dan tork 220Nm.

Ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 8.7 saat dan kelajuan maksimum sehingga 213km/j serta catatan bahan api sekitar 5.9 liter untuk setiap 100km.

Melalui transmisi dwiklac steptronic tujuh kelajuan, model ini didatangkan dengan sistem pacuan roda hadapan (FWD) yang hadir dengan teknologi ARD untuk kawalan lebih pantas dan sensitif bagi meminimumkan gelinciran.

Semua ciri itu ditambah dengan sistem keselamatan antaranya seperti Bantuan Pemandu, Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur.

BMW 218i Gran Coupe M Sport ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Alpine White, Black Sapphire, Snapper Rock Blue, Storm Bay dan Melbourne Red serta ruang dalaman pilihan kulit Dakota hitam dan kemasan biru serta hitam.

REKAAN belakang tampil berbeza.
REKAAN belakang tampil berbeza.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM211,367 (atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan) dengan jaminan lima tahun daripada pengeluar serta Program Servis Berjadual Percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:20 AM