BERSAING dalam Hot Wheels Legends Tour 2020.
BERSAING dalam Hot Wheels Legends Tour 2020.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


MEMASUKI tahun ketiga penganjuran, 'Hot Wheels Legends Tour' adalah platform pencarian global untuk kereta binaan khas (custom) yang seterusnya dijadikan set permainan.

Sebelum ini, penyertaan hanya dibuka untuk peserta di Amerika Syarikat (AS) dan tahun ini, penyertaan turut membabitkan negara lain seperti Jerman, United Kingdom (UK), Mexico dan Malaysia yang mewakili Asia Pasifik.

Acara di negara ini direalisasikan melalui kerjasama penganjur acara iaitu 'Art of Speed Malaysia' (hos tuan rumah), Shopee Malaysia dan Toys 'R' Us.

Pengasas Art of Speed Malaysia Asep Ahmad Iskandar Sastrawidjaja berkata, 67 penyertaan diterima dari Malaysia bermula 25 September lalu sehingga 15 Oktober lalu.

"Juri memilih 12 kenderaan terbaik yang ditampilkan secara maya dan pemenang pertama Hot Wheels Legends Tour Malaysia ialah Ravinder Singh daripada 'The Classic Garage', Johor Bahru, Johor," katanya.

RUANG kabin.
RUANG kabin.

Ravinder kemudian bersaing dengan finalis dari negara lain yang mana Hot Wheels Legends Tour (Edisi Global) memilih satu pemenang.

Rekaan pemenang kemudian dijadikan rekaan model berskala 1:64 untuk jualan pasaran dunia.

Acara akhir dan keputusan pemenang diumumkan secara maya di Virtual Global Finale di Los Angeles, AS.

Ia menyaksikan peserta AS, Riley Stair dengan binaan kereta Pontiac Firebird Trans-Am tahun 1970 dipilih sebagai juara untuk tahun ini.

Sama seperti di semua lokasi Legend Tour, juri akan mengambil kira kreativiti, keaslian dan semangat garaj ketika memilih finalis dan pemenang.

Tahun lalu, 110,000 peserta dan hampir 5,000 penyertaan kereta diterima dan 18 finalis dipilih.

Ravinder yang dihubungi Vroom berkata, kereta binaan khas dihasilkannya diasaskan daripada model Morris Minor 1964 dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

"Kereta ini yang diberi nama 'The Mercenary' pada awalnya khusus untuk acara Art Of Speed dan memenangi Anugerah Juri 'Invitational Car Build Off 2019'.

‘HOT ROD’ binaan anak tempatan.
‘HOT ROD’ binaan anak tempatan.

"Kali ini, kami cuba bertanding ke peringkat lebih tinggi dan terpilih mewakili Malaysia untuk acara Hot Wheels Legends Tour 2020.

"Meskipun tidak diangkat sebagai pemenang namun ia memberi kami semangat dan inspirasi untuk menghasilkan kerja yang lebih kreatif dan berkualiti bagi menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Ia penyertaan sulungnya dalam Hot Wheels Legends Tour dengan kenderaan jenis 'hot rod'.

Casisnya adalah binaan sendiri yang dipadankan dengan sistem gantungan Volkswagen Beetle pada bahagian hadapan dan daripada Mercedes untuk belakang.

Antara cabaran utama penghasilan model ini ialah menjadikan Morris Minor ini kepada dua pintu, tempat duduk binaan khas serta padanan enjin Mercedes M119 5.0 liter V8.

The Classic Garage ditubuhkan pada 2017 di Johor Bahru yang melakukan kerja baik pulih dan restorasi kenderaan serta mempunyai 11 kakitangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:11 AM