BMW R 18 gaya ‘cruiser boxer’.
BMW R 18 gaya ‘cruiser boxer’.
KEMASAN krom serlah gaya klasik.
KEMASAN krom serlah gaya klasik.
Lizam Ridzuan


PERTAMA kali model konsepnya dipertontonkan ialah pada acara 'Concorso d'Eleganza Villa d'Este' di Itali pada tahun lalu.

Didatangkan dengan kapasiti enjin boxer 1,802cc dua silinder sejukan udara dan minyak, BMW R18 First Edition Serba Baharu adalah kesinambungan kepada 'cruiser' ikonik jenama itu.

Ia yang menjana kuasa 91hp dan tork 158Nm menawarkan ciri kepuasan tunggangan dan elemen ringkas.

Ia dilengkapi transmisi enam kelajuan, malah kelajuan tertingginya mencecah 180 kilometer/sejam (km/j).

PANEL meter ringkas dengan ciri digital.
PANEL meter ringkas dengan ciri digital.

Diinspirasikan daripada model klasik BMW R5, hanya 18 unit R18 First Edition yang dibawa masuk ke negara ini dengan elemen kemasan krom eksklusif.

Ia termasuk juga antaranya logo edisi pertama dihiasi corak jalur halus dengan warna hitam berkilat, besi pemegang dan ekzos.

Ia lengkap dengan elemen pencahayaan hadapan dan belakang LED, lampu nyalaan siang (DRL), brek cakera 300 milimeter (mm) berkembar, pelana berketinggian 690mm serta speedometer analog dan digital.

Jentera ini juga dilengkapi tiga mod pemanduan iaitu Rock, Roll, Rain serta gear undur bagi kemudahan parkir.

Selain itu, ia didatangkan dengan sistem Kawalan Kestabilan Automatik (ASC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Integral BMW Motorrad dan kawalan tork 'drag' (MSR) sebagai ciri standard.

Untuk pasaran Malaysia, BMW R18 First Edition Serba Baharu dijual pada harga RM149,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar dan bantuan jalanan selama tiga tahun.

Pembeli juga mempunyai pilihan untuk menambah pelbagai aksesori tulen BMW Motorrad daripada aspek muatan, reka bentuk, penampilan dan ergonomik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 7:01 AM