Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


MODEL X1 dengan sentuhan M Sport.
MODEL X1 dengan sentuhan M Sport.

BARISAN model 'BMW X' sebagai kenderaan aktiviti sukan (SAV) jenama Jerman ini sentiasa menampilkan rekaan sporty dengan sentuhan gaya prestasi.

Antara yang ditawarkan ke dalam pasaran ialah barisan X1 sebagai siri permulaan untuk segmen itu melalui model BMW X1 sDrive20i M Sport yang dilancarkan pada awal tahun ini untuk pasaran tempatan.

Vroom memandu uji model varian tertinggi X1 (daripada dua varian) itu bagi menilai prestasi, ruang dan elemen kemasan yang disediakan dalam menjalani urusan kehidupan seharian.

GRIL hadapan dan bampar diperbaharui.
GRIL hadapan dan bampar diperbaharui.

Penulis buat pertama kali memandang rekaan luarannya hanya melihat ia sekadar sebuah lagi kenderaan SAV kompak daripada jenama BMW, namun selepas beberapa ketika, pesonanya mula terserlah.

Antara rekaan baharu ialah gril hadapan 'ginjal' yang kini disatukan pada bahagian tengah sebagai ciri signatur BMW yang mudah menarik perhatian.

Pada bahagian bampar juga diperbaharui dengan lampu kabus LED yang bersepadu dengan salur masuk udara bagi elemen dinamik.

Ini termasuk tiub lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang berbentuk heksagon, menjadikan model ini menyerlah dari jauh.

PAPAN pemuka elemen krom dan hitam.
PAPAN pemuka elemen krom dan hitam.

Padanan prestasi dengan rim aloi M Sport 18 inci 570 M jejari berkembar dan jarak kelegaan tanah diturunkan sebanyak 10mm, kini menjadi 1,588mm, menerusi suspensi M Sport menjadikan ia tampil lebih stabil.

Selain itu, pada bahagian belakang, pintu automatik dilengkapi dengan lampu belakang juga daripada LED berbentuk 'L', 'spoiler', dwi-ekzos dengan saiz lebih besar kepada 90 milimeter (mm), emblem X1 serta nama model.

Menjengah ke ruang dalaman, model X1 sDrive20i M Sport ini terus diberikan kesinambungan kit M Sport pada 'sil' pintu sebagai ucapan 'selamat datang'.

Ia turut dihiasi kemasan aluminium dan krom dengan padanan kerusi kulit hitam Dakota larasan elektrik untuk penumpang hadapan.

KERUSI penumpang selesa.
KERUSI penumpang selesa.

SISTEM multimedia bersaiz 8.8 inci.
SISTEM multimedia bersaiz 8.8 inci.

Sistem infotainmennya didatangkan dengan skrin sesentuh bersaiz 8.8 inci termasuk sistem navigasi, paparan kamera undur dan parkir, radio dan ketersambungan AppleCarPlay.

Ia boleh dikawal melalui butang kawalan terletak pada konsol dengan iDrive Controller.

BMW ConnectedDrive juga hadir bersama SAV ini dan kluster meter analog serta digital TFT bersaiz 5.7 inci bagi kemudahan pemandu melihat dan merancang perjalanan.

BUTANG kawalan
BUTANG kawalan

Untuk pemanduan, BMW X1 sDrive20i M Sport dengan padanan enjin 2.0 liter empat silinder TwinPower Turbo menjana kuasa 192 HP pada 5,000 hingga 6,000rpm dan tork 280Nm pada 1,350 hingga 4,600.

Menerusi kotak gear transmisi sport tujuh kelajuan dwi-klac Steptronic, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 224 kilometer/sejam (km/j) dan pecutan sifar ke 100 km/j dalam tempoh 7/6 saat.

Model pacuan roda hadapan ini menyerlahkan prestasi melalui tiga mod pemanduan iaitu normal, Eco Pro dan Sport yang mana penulis rasakan tujahan tork prestasinya sangat bertenaga.

Melalui pengendalian dengan suspensi M Sport, ia memberikan bukan sahaja keselesaan malah lebih stabil pada kelajuan tinggi dan selekoh.

Mengendalikan dalam bandar juga mudah kerana saiznya yang kompak terutama bagi urusan parkir dan darjah radius pusingan yang kecil membolehkan ia bergerak dengan lebih lancar.

Secara keseluruhan, model X1 ini menawarkan ciri SAV kompak sesuai buat mereka yang mahukan kenderaan sporty, mesra 'bandar' dan dalam masa sama berciri premium.

RUANG kargo dengan pintu automatik.
RUANG kargo dengan pintu automatik.

Elemen M Sport sebagai ciri prestasi jenama BMW menyerlahkan lagi kemasan dan pengendalian padanya serta tampil sedikit berbeza.

Sistem keselamatan terbaik dengan enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Dinamik (DBC), Sistem Kunci Pembezaan Elektronik (EDLC) adalah yang terdapat pada model ini.

Lampu projektor X1 setiap kali pintu dibuka serta Light Package menjadikan ia tampil lebih menarik pada waktu malam.

Pintu but automatik, ruang menyangkut barangan, soket pengecas pada bahagian kargo dan penutup memberikan kemudahan untuk membawa barangan atau tujuan untuk aktiviti hujung minggu.

TAMPIL rendah 10 mm
TAMPIL rendah 10 mm

Untuk satu isian penuh tangki 51 liter, ia mencatatkan penggunaan sekitar 6.5 liter setiap 100km dan SAV ini mampu menjangkau lebih 500km melalui sesi pandu uji ini namun berbeza mengikut individu, muatan dan permukaan jalan.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Biru Misano, Hitam Sapphire, Putih Alpine dan Kelabu Mineral.

Untuk pasaran Malaysia, BMW X1 sDrive20i M Sport dijual pada harga RM225,410 (harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:01 AM