Lizam Ridzuan


MENYERLAHKAN ciri warisan prestasi selama lebih 107 tahun, Aston Martin terus kekal sebagai kenderaan mewah dengan kelas tersendiri melalui pengenalan model DBX.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama buat jenama itu dihasilkan di atas platform baharu mengetengahkan gaya pengembaraan dan sedia untuk apa juga jenis permukaan jalan.

Model ini mula dihasilkan pada 2015 dengan program pembangunan dan ujian dilakukan di Wales pada 2018, menyerlahkan konsep SUV mewah kompak.

DBX mula dilancarkan pada hujung tahun lalu untuk pasaran dunia.

ELEMEN signatur pada rekaan.
ELEMEN signatur pada rekaan.

Kerangka aluminium dan komposit pada panel menjadikan ia bukan sahaja kukuh malah menawarkan berat sekitar 2,245 kilogram (kg).

Rekaan luaran dengan gril hadapan DB, lampu dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang disertakan liang kemasukan udara dan lampu belakang, semuanya ciri signatur untuk model Aston Martin.

Selain itu, model ini diserlahkan dengan pemegang pintu unik, kemasan krom pada pintu, logo sayap Aston Martin, pintu tanpa bingkai, bumbung kaca panorama, rel bumbung dan rim aloi bersaiz 22 inci.

Sebagaimana mewah untuk luaran, ruang kabin DBX juga sama dengan ciri keselesaan dan termaju serta kemasan kulit bermutu tinggi Alcantara dan bulu kambing biri-biri 'Caithness'.

RUANG dalaman mewah.
RUANG dalaman mewah.

Untuk kerusi penumpang hadapan, ia lengkap dengan 16 larasan elektrik, ventilasi termasuk untuk penumpang, roda stereng dwi-tona, empat pengecas USB serta pilihan 64 lampu suanasa.

Pada papan pemuka, tersedia sistem hiburan dan maklumat bersaiz 10.25 inci yang dilengkapi sistem 14 pembesar suara Aston Martin Premium Audio.

Untuk pemandu, disediakan meter maklumat TFT bersaiz 12.3 inci.

Ia juga sesuai untuk perjalanan seisi keluarga dengan lima tempat duduk.

Kerusi penumpang pula dengan jatuhan 40:20:40 manakala ruang but seluas 632 liter.

KERUSI penumpang dan bumbung kaca panorama.
KERUSI penumpang dan bumbung kaca panorama.

Sebagai model SUV, Aston Martin DBX didatangkan dengan enjin 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 yang juga dipasang pada model DB11 dan Vantage.

Ia menghasilkan kuasa 550PS dan tork maksimum sehingga 700Nm, memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 219km/j.

Untuk laluan mencabar, SUV ini mempunyai jarak kelegaan tanah 190mm dan mencecah sehingga 235mm ketika pemanduan.

Sistem keselamatan terbaik turut dibekalkan dengan Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Amaran Pelepasan Laluan (LDW), Bantu Kekal Laluan (LKA), Isofix dan 10 beg keselamatan.

Untuk pasaran Malaysia, Aston Martin DBX dijual pada harga bermula RM818,000 (sebelum cukai, opsyen ubah suai dan insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 6:30 AM
SUV pertama Aston Martin.
SUV pertama Aston Martin.