Lizam Ridzuan


MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya kenapa perlu memiliki sebuah skuter maxi dengan kapasiti enjin sehingga 300cc?

Untuk itu Vroom berkesempatan menunggang uji Honda Forza baru-baru ini yang dilancarkan sekitar November 2018 untuk menilainya.

Model Forza dikenali dengan nama NSS300 sebelum ini, memasuki pasaran tempatan pada 2014.

Ia motosikal skuter yang tampil dengan rekaan futuristik diperkenalkan pengedarnya, Boon Siew Honda (BSH).

Rekaan Forza Serba Baharu ini lebih sporty terutama pada bahagian hadapan dengan lampu berkembar dan lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED yang jelas serta bergaya.

Juga ada satu lampu ‘flash’ di bawahnya seperti yang terdapat pada motosikal berkuasa lebih tinggi.

GAYA skuter maxi Forza.
GAYA skuter maxi Forza.

Ia dilengkapi cermin pandang belakang yang turut dipasang lampu isyarat membelok boleh lipat jika tidak digunakan.

Paling menarik pada pandangan penulis ialah cermin pelindung angin boleh laras secara elektronik melalui butang yang terdapat pada pemegang yang boleh disesuaikan dengan kelajuan dan keadaan jalan dilalui.

Panel meter gabungan analog dan digital dengan pelbagai maklumat seperti trip, tahap bahan, purata penggunaan dan baki bahan api, waktu dan suhu enjin benar-benar memudahkan penulis merancang perjalanan.

Skuter ini juga menawarkan sistem nyalaan enjin tanpa kunci juga boleh mematikan enjin serta mengunci kenderaan hanya pada butang terdapat di konsol tengah selagi kunci ada di poket.

Pada bahagian hadapan juga ada dua laci simpanan bagi memudahkan penunggang meletak barangan seperti telefon bimbit.

Turut tersedia ialah pencucuh soket 12V yang akan terkunci sebaik motosikal dikunci.

REKAAN ciri premium.
REKAAN ciri premium.

Kedudukan tempat duduk bukan saja selesa malah pembonceng juga berasakan yang sama meskipun ia sedikit tinggi.

Ruang storan di bawah tempat duduk pula mampu memuatkan dua topi keledar atau barangan lain.

Lampu belakang dengan lampu isyarat bersepadu pula jelas dan sporty.

Besi pemegang sisinya pula ringkas malah boleh diguna untuk menyangkut jaring muatan.

Untuk tunggangan, ia dikuasakan dengan enjin 279cc sejukan cecair SOHC transmisi automatik V-Matic kawalan elektronik CVT.

Ia menjana kuasa 25PS pada 7,000rpm dan tork 27.2Nm pada 5,750rpm.

Selain responsif, skuter ini juga mengalirkan tenaga mengikut keperluan tunggangan serta mudah dikendalikan terutama dalam bandar atau di lebuh raya dengan berat sekitar 184 kilogram (kg).

METER pelbagai maklumat perjalanan.
METER pelbagai maklumat perjalanan.

Satu tangki petrol 11.5 liter membolehkan ia bergerak lebih 300 kilometer (km) bergantung kepada corak tunggangan dan sesuai untuk melakukan perjalanan jauh dengan pecutan maksimum sehingga 145 kilometer/sejam (km/j).

Secara keseluruhan, skuter Honda Forza ini menawarkan ciri yang premium untuk sebuah skuter maxi daripada segi rekaan sehinggalah ciri-ciri yang ditawarkan.

Sistem keselamatan seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Tork Boleh Pilih Honda (HSTC) dengan brek cakera hadapan dan belakang tunggal memberikan kelebihan untuk membrek dengan lebih selamat.

Untuk pasaran Malaysia, tiga warna ditawarkan iaitu Pearl Horizon White, Sword Silver Metallic and Asteroid Black Metallic.

Ia dijual pada harga RM31,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

BAHAGIAN belakang tampil sporty.
BAHAGIAN belakang tampil sporty.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:00 AM