AZRUL dan keluarga bergambar bersama Proton Saga yang dimenangi.
AZRUL dan keluarga bergambar bersama Proton Saga yang dimenangi.
Lizam Ridzuan


KREATIVITI seorang jurutera memuatkan naik gambar Proton Iriz miliknya yang dihantar ke Pusat Servis Kecemerlangan Proton di Subang Jaya berjaya memikat perhatian juri sekali gus bergelar pemenang peraduan Servis & Menang Proton.

Dengan kemenangan itu, Azrul Firdaus Ramli, 30, dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur membawa pulang Proton Saga Premium AT baharu bernilai RM39,800 yang dijana enjin 1.3 liter VVT DOHC.

Peraduan yang dianjurkan selama tiga bulan pada penghujung tahun lalu itu menerima lebih 125,000 penyertaan dengan cara memuatnaik gambar kereta di Facebook disertakan keterangan yang kreatif.

Pengurusan Proton memilih pemenang Servis & Menang Proton berdasarkan kreativiti yang mana peraduan ini turut mendapat kerjasama daripada Petronas.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata, peraduan itu sebagai menghargai sokongan pelanggan dan dalam masa sama memastikan pengguna melakukan servis di pusat servis yang dikendalikan oleh juruteknik terlatih.

“Hubungan jenama automotif dan pelanggannya bermula dengan penjualan kereta dan dalam tempoh pemilikan selama lima tahun atau lebih, mereka akan kembali untuk servis adalah peluang terbaik untuk menonjolkan pengalaman jenama lebih premium,” katanya.

Proton kini sudah mempunyai 121 cawangan pusat 3S/4S di seluruh negara dan menyasarkan sebanyak 150 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 5:55 PM