PERODUA turut mempamerkan model kereta konsep pada Malaysia Autoshow 2019. FOTO Bernama
PERODUA turut mempamerkan model kereta konsep pada Malaysia Autoshow 2019. FOTO Bernama
Lizam Ridzuan


PAMERAN Auto Malaysia (Malaysia Autoshow) 2019 dengan tema ‘Mobiliti Untuk Semua’ anjuran Institut Automotif, Robotik, dan IoT Malaysia (MARii) dirasmikan hari ini.

Acara pameran automotif tahunan terbesar di Asean itu diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) sehingga 14 April 2019 ini menampilkan pelbagai model dan teknologi terbaharu dalam industri.

Sebanyak 100 model kereta dipamerkan di Dewan A dengan tawaran dan diskaun istimewa, serta pakej pembiayaan khas melalui institusi kewangan dan bank terlibat turut disediakan.

Antara kenderaan model terbaharu yang diperkenalkan ialah Perodua Bezza Edisi Terhad sebanyak 50 unit sahaja, Proton Persona dan Iriz 2019, Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) BMW i3s serta motosikal Honda CBR650R dan CB650R serba baharu.

Antara pempamer lain terlibat ialah Honda dengan model konsep Civic Type-R Mugen, Toyota mempertontonkan model Yaris terbaharu, Nissan, Mitsubishi, Volkswagen, Mazda, Kia, Peugeot dan Ducati.

PENGUNJUNG di ruang pameran Proton. FOTO Asyraf Hamzah
PENGUNJUNG di ruang pameran Proton. FOTO Asyraf Hamzah

Aktiviti menarik sepanjang empat hari acara berlangsung di Malaysia Autoshow 2019 antaranya ialah Demo Drift dan Pemanduan Selamat, Proton Taxi Ride, himpunan kelab-kelab kereta, pertandingan “Robot Combat“, kenderaan “Pre-Owned” Perodua (POV), e-sukan, kelas dron, trak makanan dan banyak lagi.

Melalui pembelian tiket masuk ke ruang pameran bernilai RM20, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah sebuah Perodua Bezza, Myvi dan Kia Picanto tertakluk kepada terma dan syarat.

Malaysia Autoshow 2019 dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:09 PM