HONDA CR-V dengan identiti lebih premium.
HONDA CR-V dengan identiti lebih premium.
Mohd Razlan Salleh

Tidak keterlaluan apabila penulis mengandaikan sejak generasi pertama kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V diperkenalkan pada 1997, crossover berkenaan menjadi antara kenderaan pilihan ramai.

Tahun berganti tahun, lima generasi SUV berkenaan sudah menguasai pasaran segemen berkenaan.

Terbaru, Honda Malaysia memperkenalkan model CR-V yang dianggap antara SUV terbaik dalam kelasnya.

Penulis berkesempatan memandu uji model popular ini yang didatangkan dengan enjin turbo dan teknologi Honda SENSING.

Seperti sedia maklum, jenama Honda tidak pernah mengecewakan pembeli dengan setiap produk ditawarkannya.

Ini boleh dilihat melalui laporan tahunannya yang menunjukkan peningkatan jualan setiap tahun.

Jentera keluarannya sentiasa mempunyai peminatnya yang tersendiri sama ada reka bentuk, teknologi atau pengaruh emblem ‘H’ itu sendiri.

Berbalik kepada CR-V, meskipun penulis lewat menerima unit pandu uji ini, perasaan teruja tetap ada.

Malah, kenderaan ini digunakan penulis untuk ke pantai timur menghadiri tugasan kerja di sana.

MASIH kekalkan reka bentuk tirus.
MASIH kekalkan reka bentuk tirus.

Sebaik kunci pintar Honda CR-V 1.5L TC-P diserahkan, penulis tanpa membuang masa bergegas ke tugasan dan cuba mencari keistimewaan SUV pilihan ramai ini.

Paling mengagumkan adalah teknologi Honda SENSING yang melengkapi SUV generasi kelima ini.

Bagi pembaca yang masih tertanya-tanya, apakah Honda SENSING, kata mudahnya adalah ‘mata ketiga’ pemandu yang dikawal oleh radar.

Jika kita lihat model Honda yang dilengkapi teknologi ini, pasti ternampak kotak hitam di bahagian gril hadapan yang menempatkan radar ini.

Selain penggunaan radar, teknologi pintar ini dibantu kamera yang mengesan atau mengenali situasi semasa jalan raya, seterusnya memberikan amaran awal kepada pemandu bagi mengelak pelanggaran.

Honda SENSING membantu pemanduan lebih selamat dan selesa merangkumi beberapa fungsi seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Daripada Jalan (RDM), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dan Sistem Mengikuti Kenderaan.

Setiap sistem ini mempunyai tugasnya yang tersendiri.

LDW misalnya akan memberi amaran apabila pemandu terkeluar daripada lorong dengan mewujudkan getaran pada stereng, manakala LKAS memberi input ketepatan stereng untuk mengekalkan kenderaan di lorong sepatutnya dan RDM pula membantu mengawal stereng daripada terus tersasar daripada laluan.

KOTAK hitam di bawah logo menempatkan sistem radar HONDA SENSING.
KOTAK hitam di bawah logo menempatkan sistem radar HONDA SENSING.

Sistem pencegahan pelanggaran ini dibantu FCW yang memberi amaran apabila terdapat risiko dengan kenderaan hadapan, seterusnya ACC menetapkan kelajuan dari jarak di belakang kenderaan.

CMBS pula berfungsi secara automatik apabila mengesan risiko pelanggaran, manakala Sistem Mengikuti Kenderaan membolehkan kenderaan bergerak dan berhenti secara automatik mengikut keadaan lalu lintas.

Dalam erti kata mudah, sekiranya penulis memandu pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) dan lorong di hadapan penulis ada kereta bergerak sekitar 100 km/j, kelajuan kenderaan akan menurun secara automatik.

Sebagai pelengkap, bunyi amaran akan terhasil sekiranya FCW mengesan potensi awal berlaku pelanggaran untuk menyedarkan pemandu.

Sekiranya jarak terlalu dekat, CMBS akan mengaktifkan brek secara berterusan untuk memastikan pelanggaran tidak berlaku.

Selain itu, LKAS berfungsi melalui kamera membaca garis pemisah antara lorong untuk memastikan kenderaan kekal di laluan.

Sekiranya terkeluar daripada laluan, LDW akan mengeluarkan bunyi amaran kepada pemandu.

RDM akan berfungsi mengaktifkan brek dan bantuan stereng apabila kamera mengesan kenderaan itu terlalu hampir dengan sisi jalan.

Nampak seperti terlalu memeningkan tetapi teknologi ini sebenarnya sangat membantu pemandu terutama ketika pemanduan jarak jauh.

BAHAGIAN belakang rekaan terkini.
BAHAGIAN belakang rekaan terkini.

Hadir dengan enjin 1,498cc empat silinder 16 injap DOHC VTEC Turbo, SUV ini menghamburkan kuasa maksimum 193PS pada 5,600 rpm manakala daya kilas 243Nm pada 2,000 hingga 5,000 rpm.

Nadi kuasa ini digabungkan bersama transmisi CVT yang menjanjikan kuasa sangat responsif.

Mengikut rekod diberi, model ini mampu memecut pada kelajuan maksimum sehingga 200 km/j manakala kadar pecutan dari pegun ke 100 km/j mengambil masa 8.8 saat.

Sepanjang perjalanan dari ibu kota ke Kuala Terengganu, tahap penggunaan bahan api boleh dikategorikan sebagai memuaskan tetapi tidaklah sejimat enjin diesel.

Dengan kuasa yang ditawarkan, CR-V ini memberikan pemanduan mengujakan terutama di lebuh raya.

Menyentuh reka bentuk luaran, SUV ini masih mengekalkan garis lekuk pada bahagian sisi bertujuan mengoptimumkan ciri aerodinamiknya.

Bahagian hadapan dengan perumah lampu tirus menjadikannya parasnya sporty dan bergaya.

LAMPU utama LED dengan fungsi Auto High Beam dan Active Cornering Light.
LAMPU utama LED dengan fungsi Auto High Beam dan Active Cornering Light.

Pada bahagian belakang pula, sentuhan berbeza dengan lampu belakang LED dengan rekaan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah yang bersambung pada pintu but yang boleh dibuka secara automatik.

Ruang kargo berkapasiti 522 liter mampu mencecah angka 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata.

Rim dwitona bersaiz 18 inci dan ekzos berkembar menjadikan CR-V ini tampak lebih bergaya dan maskulin.

LAMPU belakang rekaan gabungan menegak dan melintang.
LAMPU belakang rekaan gabungan menegak dan melintang.

Ruang dalamannya serba mewah dengan keseluruhannya dihiasi dengan warna gelap dan padanan kulit termasuk papan pemuka selain kemasan kayu.

Bagi mencetuskan ciri premium, konsol tengah dilengkapi fungsi pelbagai guna hadir dengan material sama.

Varian tertinggi ini juga menerima panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan penahan brek auto, pendingin hawa auto dwizon dengan corong untuk penumpang belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push/Start dan skrin sesentuh audio tujuh inci Apple CarPlay dan Android Auto bersama lapan pembesar suara.

SPOILER untuk tampil sporty.
SPOILER untuk tampil sporty.

Honda CR-V ini didatangkan bersama enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Pengendalian Tangkas (AHA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan Honda LaneWatch Camera sebagai ciri standard untuk semua varian.

Sementara itu, teknologi Advanced LED sepenuhnya, selain disertakan fungsi Auto High Beam dan Active Cornering Light membolehkan pemandu selesa ketika memandu pada waktu malam.

Kesimpulannya, dengan harga jualan RM158,225 (tanpa GST dan insurans), Honda CR-V 1.5L TC-P pasti mewarisi populariti generasi lalu, malah mengekalkan reputasinya sebagai SUV premium untuk golongan muda bandar.

HONDA LaneWatch Camera untuk mengesan objek pada titik buta.
HONDA LaneWatch Camera untuk mengesan objek pada titik buta.

HONDA CR-V 1.5L TC-P 2WD

• ENJIN: 1,498cc empat silinder 16 injap DOHC VTEC Turbo

• KUASA MAKSIMUM: 193 PS @ 5,600 rpm

• TORK MAKSIMUM: 243 Nm @ 2,000-5,000 rpm

• CIRI KESELAMATAN: Honda SENSING, enam beg udara, VSA, AHA, HSA dan Honda LaneWatch Camera

• HARGA: RM158,225 (tanpa GST dan insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 5:30 AM