Lizam Ridzuan

Selepas terbukti ketahanan jenama Proton dalam perlumbaan, kali ini jentera nasional ini diuji lagi dengan kecekapan penggunaan bahan api dalam Pengembaraan 1Tangki Proton, baru-baru ini.

Diadakan di lima lokasi di seluruh negara membabitkan wilayah tengah, timur, utara, selatan dan Sabah, penulis berpeluang menyertai sesi utara membabitkan perjalanan sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Lebih 36 peserta dengan 18 kenderaan terdiri daripada pemilik Proton, selebriti tempatan dan media menyertai program berkenaan menggunakan model Iriz, Saga dan Persona.

Setiap peserta perlu menempuhi perjalanan lebih 600 kilometer (km) hanya dengan satu tangki penuh bahan api.

Program hari pertama bermula di pusat jualan Proton Edar melalui pengedarnya, Top Zone Auto Gallery di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Pengembaraan 1Tangki Proton bermula dengan menuju ke Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir di Alor Setar sebagai check point pertama (CP1) sejauh 90km.

Pemanduan diteruskan ke Medan Ikan Bakar, Kuala Perlis, dengan jarak perjalanan 60km untuk CP2.

Sepanjang perjalanan, peserta memandu dengan kelajuan sederhana dengan fungsi Bantu Pandu Eko (ECO Drive Assist) dan ketika tiba di Perlis, Proton Iriz 1.3L dipandu penulis masih menunjukkan bahan api penuh.

PELAKON Shahrul Ridwan di Kellie’s Castle.
PELAKON Shahrul Ridwan di Kellie’s Castle.

Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Ipoh, Perak sejauh 300km melalui jalan kampung, bandar dan lebuh raya pada purata kelajuan sekitar 100 kilometer sejam (km/j).

Setibanya di Ipoh sekitar jam 7 malam, bahan api masih berbaki separuh dengan tahap penggunaan bahan api sekitar 5.9 liter untuk setiap 100km.

Hari kedua dimulakan seawal jam 9.30 pagi menuju ke Kellie’s Castle di Batu Gajah untuk CP3 dan kemudian ke Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang untuk CP4 serta ujian pemanduan dinamik meliputi perjalanan sejauh 150km.

Lokasi terakhir CP5 ialah di Petronas Autocity Juru untuk isian bahan api terakhir sebelum kiraan dilakukan bagi memilih pemenang yang berjaya mendapatkan jarak dan penggunaan bahan api paling efisien.

Catatan terbaik Pengembaraan 1Tangki Proton 2018 Utara ialah 4.76 liter/100km untuk model Saga 1.3L CVT, 4.94 liter/100km (Iriz 1.3L CVT) dan 5.06 liter/100km (Persona 1.6L CVT) dengan purata perjalanan sejauh 620km.

Acara akhir Pengembaraan 1Tangki Proton menghimpunkan semua juara lima peringkat terdahulu diadakan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang dengan jarak perjalanan sejauh 700km.

UJIAN pemanduan dinamik.
UJIAN pemanduan dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 2:15 AM