CIRI bersegi dan sporty.
CIRI bersegi dan sporty.
Lizam Ridzuan

Sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) kedua jenama Lamborghini selepas LM002, pelancaran Urus nyata menjadi pilihan selain menarik perhatian peminat jenama mewah dari Itali.

Gabungan rekaan, keselesaan dan kepuasan pemanduan berasaskan jentera supercar itu membolehkan pemandu berasa selesa bagi kegunaan harian, lasak atau jarak jauh.

Dikuasakan enjin aluminium 4.0L petrol V8 turbo-berkembar, SUV ini menjana 650 kuasa kuda (hp) pada 6,000rpm hingga 6,800rpm manakala tujahan tork 850Nm pada 2,250 hingga 4,500rpm.

Dilancarkan Asia Pasifik Automobili Lamborghini, Urus mempunyai jarak kelegaan tanah 158 milimeter (mm) hingga 248mm yang boleh dilaras menggunakan suspensi udara untuk laluan lasak selain pacuan empat roda (4WD) dan kendalian Servotronic berbeza dengan Kawalan Roda-Belakang Lamborghini (LRS).

GAYA prestasi SUV Urus.
GAYA prestasi SUV Urus.

Sesuai dengan kemewahannya, Urus dipadankan dengan empat mod pemanduan iaitu Strada, Sport, Corsa dan Neve (salji) melalui kawalan Tamburo pada konsol serta pilihan pakej off-road Terra dan Sabbia untuk laluan berpasir.

Model ini didatangkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik ‘electrohydraulically’ kompak untuk nisbah tukaran gear pendek dan panjang lancar, enjin responsif serta penggunaan bahan api lebih efisien.

Rekaan luaran dengan ciri inspirasi dan karakter model Miura dan Aventador dengan fender hadapan rendah, ruang kemasukan udara luas bentuk heksagon, lampu LED hadapan tirus dengan bentuk signatur Y.

RUANG dalaman termaju.
RUANG dalaman termaju.

Untuk ruang dalaman, pilihan warna dan posisi tempat duduk disekalikan dengan rekaan keseluruhan kabin bagi keselesaan maksimum.

Stereng tiga jejari dengan pelbagai fungsi dan suis kawalan Sistem Infotainment Lamborghini (LIS) untuk media, telefon dan pandu arah serta papan pemuka umpama dua sayap menyerlahkan gaya elegan Super SUV ini.

Material bermutu tinggi alacantra, aluminium, gentian karbon dan kayu digunakan sebagai kemasan dalaman menjadikannya lebih eksklusif termasuk sistem keselamatan terbaik seperti lapan beg udara, ISOFIX dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Lamborghini Urus dijangka dijual pada harga asas bermula RM800,000 (tanpa cukai dan insurans) dan mula diserahkan kepada pembeli tahun depan.

PILIHAN dua tempat duduk belakang.
PILIHAN dua tempat duduk belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 9:27 AM