ETTY Noorzamila bersama arwah anak kesayangannya, Haziq Muhammad Husaini Razif.
ETTY Noorzamila bersama arwah anak kesayangannya, Haziq Muhammad Husaini Razif.
Redzuan Muharam


Banting: Belum sempat meraikan kejayaan anak tersayang di menara gading, Etty Noorzamila Zainal Abidin terpaksa menerima hakikat putera sulungnya itu dijemput Ilahi pada 27 Julai 2018.

Wanita berusia 46 tahun itu berkata, biarpun sudah lebih empat tahun berlalu, kenangan bersama Allahyarham Haziq Muhammad Husaini Razif masih segar di ingatan terutama ketika musim konvokesyen ketika ini.

Disebabkan kerinduan itu, Etty Noorzamila yang menetap di Kanchong Darat di sini, meminta pemilik akaun Facebook (FB) Edit Apa Hari Ni untuk menyunting gambar arwah anaknya dengan jubah konvokesyen mahupun gambar lain bersesuaian untuk dijadikan kenangan.

"Saya terlalu ingin melihat arwah 'konvo' kerana kebiasaannya hanya melihat orang lain berkongsi kejayaan dan kebahagiaan anak mereka.

"Anak saya (Haziq) belajar bersungguh-sungguh, namun tidak dapat 'konvo' kerana Allah lebih menyayanginya.

"Dia adalah penuntut Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur dan sedang buat persediaan latihan industri, yang mana dijangka jalani latihan amali umrah di Tanah Suci pada semester berikutnya," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi kisah Haziq kesayangannya, Etty Noorzamila berkata, arwah meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terlanggar jalan berlubang di pekan Banting dan ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

"Sementara cuti semester, arwah bekerja sambilan di restoran makanan segera dan meninggal dunia ketika genap sebulan bekerja di situ.

"Saya difahamkan hari berkenaan (kemalangan) adalah hari gaji, tetapi dia belum sempat mengambilnya, malah arwah meninggal dunia di lokasi.

"Sebelum kejadian itu, Haziq sempat muat naik gambar Instagram (IG), dia bergambar di depan butik telekung terkenal dan kapsyen gambar itu 'Bonda sabar ya, nanti Along kerja, gaji pertama Along belikan bonda telekung ni'.

"Selain itu, arwah ada beritahu keinginannya mahu menjaga saya apabila tua dan berpesan kepada seorang rakan untuk tengokkan saya, suami dan adiknya kerana enggan kami hidup susah," katanya.

Jauh di sudut hati, Etty Noorzamila mengakui sangat sedih atas kehilangan itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi, apatah lagi anak kesayangannya itu meninggal dunia pada hari baik, malam Jumaat.

Katanya, mereka sekeluarga termasuk empat anaknya yang lain menganggap pemergian Haziq satu kehilangan besar apatah lagi, arwah banyak membantu adiknya dalam pelajaran.

"Ketika melihat wajahnya buat kali terakhir, wajahnya tiada kecederaan, hanya tengkuk patah dan bibirnya kelihatan tersenyum. Saya bersyukur Allah menjemputnya pada hari baik.

"Saya reda dengan qada dan qadar Allah, ampunkan segala salah silapnya dan berdoa setiap hari supaya Allah masukkan dia ke syurga tanpa hisab," katanya yang memberitahu doanya tidak pernah putus buat arwah yang sememangnya anak baik, ramah dan disenangi ramai.

Etty Noorzamila juga berkongsi cita-cita Allahyarham Haziq iaitu menjadi pendakwah dan berhajat untuk menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam selepas menamatkan diploma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 10:30 PM