FOTO fail menunjukkan petugas memakai pakaian perlindungan diri mengawal pintu masuk  kawasan kejiranan di daerah Jing'an, Shanghai, pada Mac 2022. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan petugas memakai pakaian perlindungan diri mengawal pintu masuk kawasan kejiranan di daerah Jing'an, Shanghai, pada Mac 2022. FOTO AFP

Strategi China mengawal Covid-19 dengan sekatan pergerakan (lockdown), ujian pengesanan besar-besaran dan kuarantin mencetuskan perbezaan pendapat orang ramai terhadap Parti Komunis yang memerintah negara itu dalam beberapa dekad.

Kebanyakan penunjuk perasaan di tanah besar dan Hong Kong menumpukan kemarahan terhadap sekatan mengehadkan pergerakan keluarga dalam rumah selama berbulan-bulan.

Pakar kesihatan global mengkritik kaedah digunakan China ke arah sifar Covid-19 itu sebagai tidak mampan.

Dasar China

Kerajaan pimpinan Presiden Xi Jinping melaksanakan dasar sekatan pergerakan, ujian pengesanan berulang kepada jutaan penduduk dan kuarantin panjang untuk ketibaan di luar negara dalam usaha mengurangkan penularan.

Pada permulaan wabak itu, negara lain juga mempunyai penutupan dan sekatan lain, namun akhirnya dilonggarkan.

Pada mulanya, strategi China berjaya menahan jumlah kematian, namun sebenarnya penduduk China mempunyai sedikit pendedahan kepada virus itu.

China hanya menggunakan vaksin dibangunkan dalam negara yang kurang berkesan dan tidak cukup melindungi warga emas sepenuhnya berbanding vaksin digunakan di negara lain.

Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci berkata, kebergantungan berterusan China kepada kaedah sekatan pergerakan agak kejam.

"Ia tidak masuk akal dalam aspek kesihatan awam," katanya dalam program NBC, Meet the Press.

Tiada 'Pelan B'

China mempunyai kematian yang jauh lebih sedikit berbanding negara besar lain dan antara kematian perkapita terendah di dunia dengan jumlah kematian rasmi 5,233 semasa wabak pada awal 2020.

Profesor Sains Metrik Kesihatan Universiti Washington, Seattle, Ali Mokdad berkata, dasar ketat itu menyelamatkan nyawa namun tidak dapat dikekalkan.

"Mereka tiada pelan B. Mereka tidak boleh 'mengunci' negara selama-lamanya," katanya menambah pendekatan China akan membawa kepada lonjakan kematian dan tekanan di hospital.

PETUGAS kesihatan menaiki basikal kargo beramai-ramai di sekitar Shanghai pada Jun 2022. FOTO EPA
PETUGAS kesihatan menaiki basikal kargo beramai-ramai di sekitar Shanghai pada Jun 2022. FOTO EPA

Sementara itu, Julian Tang, seorang ahli virologi di Universiti Leicester di United Kingdom (UK), bersetuju percubaan China menghentikan setiap kes Covid-19 sangat mustahil.

Beliau berkata, negara itu sepatutnya melakukan apa yang dilakukan kebanyakan negara lain dan belajar hidup dengan virus itu.

"Tiada jalan pintas untuk sifar Covid-19.

"Walaupun peraturan ketat membantu mengelak ribuan jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian dilihat di Barat semasa tahun pertama wabak itu hilang dengan kemunculan varian Omicron.

"Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan ialah menerima tahap penyakit tertentu," katanya.

Ramalan cukup membimbangkan

Profesor Perubatan, Universiti Anglia Timur, UK, Dr Paul Hunter berkata, China kini mengundurkan diri ke sudut dan amaran keluar itu akan menyakitkan.

Katanya, nilai langkah seperti sekatan pergerakan dan pemakaian pelitup muka kebanyakannya untuk menangguhkan sebanyak mungkin jangkitan sehingga vaksin tersedia.

"Malangnya, vaksin di China tidak begitu baik.

"Tahap vaksinasi bagi orang berisiko adalah rendah dan perlindungan diberi kini pudar untuk mereka yang diimunisasi sejak dahulu lagi," katanya.

PENDUDUK beratur menunggu giliran untuk mengambil  ujian sampel koronavirus  dekat Zhangye, wilayah Gansu pada November 2021. FOTO AFP
PENDUDUK beratur menunggu giliran untuk mengambil ujian sampel koronavirus dekat Zhangye, wilayah Gansu pada November 2021. FOTO AFP

Hunter berkata, sekatan pergerakan seharusnya ditarik balik secara berperingkat untuk mengelak hospital dibebani jumlah kemasukan pesakit.

"Sekatan lain seperti memakai pelitup muka boleh diadakan untuk mengurangkan penyebaran sebanyak mungkin.

"China akhirnya perlu membuka sempadan, satu langkah yang pasti membawa lonjakan penyakit.

"Lonjakan akan memuncak dengan cepat dan turun dengan cepat namun perlu bersedia semasa mereka melaluinya," katanya.

Firma analisis kesihatan Airfinity pada Isnin mengunjurkan dua juta di China berisiko hilang nyawa jika negara itu menarik balik dasar sifar Covid-19.

Katanya, ia berikutan kadar vaksinasinya yang rendah dan kekurangan imuniti semula jadi dalam kalangan penduduknya.

Pihak berkuasa China tempatan melonggarkan peraturan selepas perhimpunan baru-baru ini namun kerajaan tidak menunjukkan tanda berundur daripada strategi Covid-19 yang lebih besar.

Vaksin sebagai 'jalan keluar'

Pakar penyakit berjangkit di Universiti Exeter, Dr Bharat Pankhania berkata, China perlu mengimport vaksin mRNA keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna kerana terbukti tahap keberkesanannya.

"Jawapan saintifik sangat jelas. Mungkin ini mencabar politik China kerana perlu mengakui kelemahan vaksin tempatannya, tetapi mereka perlu mencari jalan untuk mengubah haluan.

"Penduduk China jelas muak dengan pelbagai sekatan selepas sekatan pergerakan dan jalan keluar terpantas dengan mencapai tahap imuniti secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 7:30 AM