Redzuan Muharam


Johor Bahru: Keletah lelaki istimewa, Mohd Baharudin Yahya dikenali Baha BHP yang petah mengulas sesuatu topik secara rawak pernah mencuri perhatian netizen selepas beberapa videonya tular di laman sosial sebelum ini.

Kini, gelagat Baha, 35, boleh ditonton menerusi saluran Youtube diberi nama 'abang kimia' yang diaktifkan oleh adiknya, Nur Hanisah Izzati Yahya, 29, pada Ogos lalu.

Menurut Nur Hanisah, dia pada mulanya enggan membuka saluran Youtube itu bagi menjaga privasi abangnya.

Bagaimanapun, Nur Hanisah terbuka hati selepas memikirkan manfaat jangka panjang boleh diperoleh daripada platform berkenaan yang kini sudah mengumpul hampir 96,000 langganan.

"Mulanya berat hati juga untuk buka saluran Youtube buat abang kerana ada individu tidak dikenali pernah memintanya wang selepas kisahnya tular di laman sosial.

"Bagaimanapun, ada permintaan daripada mereka yang mengikuti perkembangan abang untuk saya membuka saluran Youtube.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini juga antara sebab saya membuka saluran Youtube kerana menganggap ia masa yang sesuai dan saya lakukannya (buka saluran Youtube) demi abang, bukan untuk kepentingan saya atau menggunakannya bagi meraih populariti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Hanisah berkata, bukan mudah untuknya memujuk Baha merakam video bagi dimuat naik di Youtube.

"Saya dan abang tinggal berasingan malah kami hanya bertemu pada hujung minggu saja.

"Ini kerana saya kini menjalani latihan industri manakala abang pula bekerja di sebuah stesen minyak.

"Ada masanya, 'mood' abang 'okay' tetapi pernah juga dia menolak apabila diajak mengambil video. Disebabkan itu, perkongsian video di Youtube tidak konsisten kerana saya tidak boleh memaksanya.

"Buat masa ini, perkongsian di Youtube lebih kepada videonya menyanyi, bercerita dan ulasan mengenai sesuatu isu namun akan datang mungkin yang berkait dengan permainan video," katanya.

Berkongsi keadaan Baha, Nur Hanisah berkata, abangnya itu sihat dan tinggal di rumah yang disediakan oleh majikan.

NUR Hanisah Izzati bersama abangnya, Baha. FOTO ihsan Nur Hanisah Izzati Yahya
NUR Hanisah Izzati bersama abangnya, Baha. FOTO ihsan Nur Hanisah Izzati Yahya

Bagaimanapun, Nur Hanisah berkata, abangnya belum dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan mendapatkan pengesahan pakar mengenai keadaan kesihatannya.

"Mereka yang mengikuti perkembangan daripada dulu mungkin tahu abang dilahirkan normal.

"Bagaimanapun, hidup abang berubah selepas rumah keluarga kami dilelong hingga menyebabkannya tidak dapat menamatkan pengajian peringkat diploma seterusnya tertekan kerana perlu menanggung keluarga dan akhirnya jadi seperti sekarang.

"Banyak perkara sudah dilaluinya dan sebagai adik, saya tidak mahu lagi mendesak tetapi akan cuba memujuknya untuk bertemu pakar satu hari nanti.

"Buat masa ini, inisiatif saya adalah dengan mengaktifkan saluran Youtube. Jika ada rezeki, dapatlah abang menjana pendapatan sampingan di situ dan saya hanya membantu mengurus dan tidak mengambil langsung wang diperolehnya," katanya yang turut menguruskan akaun Instagram (IG) abangnya yang menggunakan nama abang kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:00 PM