VAKSINATOR membuat persiapan sebelum menyuntik vaksin Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
VAKSINATOR membuat persiapan sebelum menyuntik vaksin Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka bermula hujung bulan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan.

Menurutnya, tempahan janji temu vaksinasi bagi golongan berkenaan akan dibuka secara berperingkat bermula hujung bulan ini untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang.

"Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari depan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

"Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu.

"Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 19 Januari ini.

"Buat masa ini, vaksinasi Covid-19 ini adalah disyorkan bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit Covid-19 yang teruk termasuk kemasukan ke hospital dan ke unit rawatan rapi (ICU) serta kematian.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon kepada majikan supaya memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak mereka untuk vaksinasi serta membuat pemerhatian kepada kesihatan anak mereka selepas vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Februari ini, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

"Vaksinasi kepada kanak-kanak buat masa ini tidak diwajibkan tetapi kita lebih kepada pendekatan mendidik keluarga mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin itu.

"Selepas ini kita harap lebih ramai keluarga akan tampil selepas melihat anak-anak orang lain yang divaksin tidak ada apa-apa masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:26 PM