ZII JIA
ZII JIA
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Kalau saya 'rebel' (kuat melawan) anda tidak akan nampak saya di sini, apa sahaja keputusan biarlah Persatuan Badminton Malaysia yang buat," jelas pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia selepas dikatakan berjumpa dengan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membincangkan mengenai masa depannya bersama badan induk berkenaan.

Menurut Zii Jia, dia tidak boleh memberi komen lanjut mengenai perkara berkenaan dan sebagai pemain hanya mahu berlatih, memberi persembahan sebaik mungkin, mendapatkan keputusan cemerlang seterusnya membuatkan negara bangga.

"Saya boleh cakap, ini bukan tempat saya untuk komen apa-apa mengenai perkara berkenaan. Apa sahaja pengumuman BAM yang akan buat," katanya.

Menurut juara Seluruh England 2021 itu, dia tidak berada di tempat yang sesuai untuk memberi komen mengenai masa depannya dan setakat ini masih lagi pemain di bawah naungan BAM.

"Macam saya cakap tadi, kalau saya 'rebel' anda tidak akan melihat saya masih berlatih dan bersama-sama rakan sepasukan," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Ditanya adakah BAM tempat paling tepat untuk membina karier cemerlang seperti mana diperakui legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Zii Jia berkata, dia tidak boleh dibandingkan dengan bekas pemain berkenaan.

"Saya bukan Lee Chong Wei apa yang beliau raih, apa yang beliau ada berbeza dengan saya. Saya tidak boleh cakap saya mahu benda yang sama macam itu," katanya.

Isu mengenai Zii Jia akan meninggalkan badan induk berkenaan kembali hangat diperkatakan apabila kelmarin dia dikatakan berjumpa dengan pihak pengurusan dan terpaksa menghentikan latihanya seketika.

Sementara itu, Zii Jia berharap saingan Kejohanan Berpasukan Asia yang menjadi pentas kelayakan Piala Thomas dapat diadakan dengan kehadiran penonton.

"Selepas minggu kedua berlatih, semuanya berjalan dengan baik (untuk persiapan Kejohanan Berpasukan Asia). Cuma sekarang kita tidak tahu penonton dapat masuk atau tidak. Kalau ada penonton memang suasananya akan berbeza," katanya yang masih lagi meletakkan harapan untuk berada di kelompok lima terbaik dunia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:01 AM