Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Insya-Allah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi laman facebooknya, Ismail Sabri berkata, Rohana dibesarkan dengan baik dan mendapat didikan agama Islam walaupun berbeza agama dengan ibu angkatnya.

"Buat Chee Hoi Lan, terima kasih, salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan," katanya.

Ismail Sabri turut memuatnaik video beliau menghubungi Rohana ketika berada dalam kenderaan.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghubungi Rohana. FOTO Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghubungi Rohana. FOTO Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Kisah Rohana Abdullah disiarkan secara ekslusif oleh akhbar ini mendapat perhatian Perdana Menteri.

Rohana ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika di sini, 22 tahun lalu selepas ibunya pulang ke Indonesia.

Ismail Sabri berkata beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

Menurutnya, beliau akan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu urusan dokumentasi Rohana bagi membolehkan dokumen identiti diberikan kepadanya.

"Hari Isnin (esok) saya akan hubungi Jabatan pendaftaran, kalau ada apa-apa (perkembangan) nanti, pegawai saya akan hubungi awak," kata Perdana Menteri menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat itu.

Rohana juga didengar mengucapkan terima kasih dan berharap perdana menteri dapat membantunya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang wanita Cina, Chee Hoi Lan, 83, menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang yang tinggi selepas memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.

Biar berbeza budaya dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuknya menumpahkan kasih sayang kepada remaja itu termasuk menyediakan wang belanja untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Rata-rata netizen memuji sikap Hoi Lan yang mengambil tanggungjawab sebagai ibu dan memastikan 'anaknya' itu kekal sebagai seorang muslim.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 10:11 PM