ANTARA pekebun warga Bangladesh yang ditahan dan disoal siasat Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
ANTARA pekebun warga Bangladesh yang ditahan dan disoal siasat Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Tindakan pemilik memajak tapak sawah menyebabkan jumlah warga asing meningkat di tapak sawah sekitar jelapang padi Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius isu ini dan akan terus membuat pemantauan berkala.

Menurutnya, pemantauan juga akan dibuat di sawah padi lain seluruh negara untuk memastikan tiada salah guna permit kerja dan warga asing yang 'kosong' bekerja.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan wujud persepsi sawah padi sekitar Sekinchan dan Tanjong Karang kini dikuasai warga asing.

Katanya, susulan daripada pendedahan eksklusif Harian Metro, JIM mengadakan operasi di tiga lokasi di sekitar Kampung Seri Gambut, Jalan Parit Lima dan Jalan Tali Air di Sekinchan, kelmarin.

"Pada operasi itu, 13 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar ditahan kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah.

"Operasi sama juga memeriksa 53 warga asing yang bekerja di sawah dan kebun sayur. Mereka yang dilepaskan memiliki permit kerja sektor pertanian," katanya ditemui di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Beliau berkata, majikan yang menggaji pekerja asing juga bakal dikenakan tindakan jika didapati menggaji warga asing tanpa permit kerja sah.

Laporan eksklusif Harian Metro 24 November lalu mendedahkan, warga asing terutama dari Bangladesh dan Rohingya yang sebelum ini mengambil upah bekerja di sawah, kini bertindak sebagai tauke.

Ia selepas mereka menyewa sawah milik orang tempatan dan menukar bendang kepada kebun seluas 12 hektar di sekitar Sekinchan, Selangor.

Bukan itu saja, mereka juga dikatakan menjalani hidup mewah hasil aktiviti agronomi dan mempunyai rangkaian pasaran sayuran dan tanaman kontan yang diusahakan.

Kehadiran mereka secara tidak langsung mengganggu petani tempatan yang berdepan masalah aliran air ke sawah selain gangguan makhluk perosak di kawasan terbabit.

PENGUAT kuasa imigresen mengejar warga asing yang cuba melarikan diri dalam dalam operasi bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. FOTO Ihsan JIM
PENGUAT kuasa imigresen mengejar warga asing yang cuba melarikan diri dalam dalam operasi bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. FOTO Ihsan JIM

Halang warga asing jadi 'tauke'

Satu garis panduan akan dikeluarkan kepada petani bagi memastikan tiada warga asing yang memonopoli industri padi dan beras negara pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, keutamaan kini ialah bagaimana untuk memastikan pesawah tempatan mendapat manfaat daripada skim yang disediakan kerajaan sekali gus melonjak aktiviti pertanian sawah.

Katanya, garis panduan yang akan diputuskan nanti tidak akan membenarkan warga asing menjadi 'tauke' di sawah dan hanya terhad sebagai pekerja kepada warga tempatan.

"Skim Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang dilancarkan kerajaan adalah antara usaha bagi memastikan tiada pembabitan warga asing secara menyeluruh dalam industri padi dan beras negara.

"Ia antara lain menjadi inisiatif bagi membendung penguasaan warga asing di dalam industri itu sehingga menjejaskan peluang pesawah tempatan," katanya.

Kata beliau, pihaknya tidak akan membenarkan warga asing memonopoli industri padi dan beras di negara ini yang berkeluasan keseluruhan 700,000 hektar.

Azman berkata, ketika ini perbincangan bersama agensi berkaitan sedang berjalan dan semuanya menjurus kepada mengekang penguasaan warga asing seperti dilaporkan sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengadakan operasi bersepadu di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam susulan pendedahan Harian Metro.

"Saya yakin dengan usaha berterusan, kita dapat memastikan industri ini kekal menjadi hak orang tempatan dan memberi manfaat kepada pemilik seperti yang sepatutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 12:00 PM