ISTANA Kehakiman, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ISTANA Kehakiman, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes Datuk Seri Najib Razak memberi amaran bahawa ia adalah mahkamah undang-undang dan bukan kedai kopi.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata demikian selepas peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa penjamin kepada bekas perdana menteri itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Abdul Karim: Mana Najib? Mana penjamin?

Harvinder: Perayu (Najib) tidak hadir kerana beliau menjadi kontak kasual kepada anak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu, Muhammad Farhan yang disahkan positif Covid-19. Penjamin pun tidak hadir.

Hakim: Najib menjadi kontak kasual, mudah memberi alasan, tetapi mahkamah memerlukan bukti.

Kontak rapat ada dua kategori gejala. Paling penting hadir ke mahkamah. Semua orang telah terdedah (kontak rapat). Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan air liur. Kami mahu bukti. Penjamin pun tidak hadir!

Ketika mendengar penjelasan peguam, penjamin Najib, Faizal Shamsuddin dilihat memasuki bilik mahkamah dan kemudian Harvinder memaklumkan kepada panel mengenai kehadiran penjamin.

Sejurus selepas penjamin itu masuk, Hakim Abdul Karim menyoal Faizal mengenai kegagalan Najib untuk hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Abdul Karim: Mana Najib? Kamu tahu kenapa Najib tak datang ke mahkamah, tangggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?

Sebagai penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?

Faizal: Datuk Seri ada di Pavillion.

Hakim Abdul Karim: Pavillion? Pavillion itu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi.

Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera juga bertanya mengenai seorang lagi penjamin Najib.

"Mana penjamin lagi seorang? Dalam perjalanan? Mahkamah mula pukul 9 pagi, datang ikut suka hati?" katanya.

Faizal turut diberi amaran kerana membuat rakaman ketika prosiding.

"Awak rakam ke? Ini mahkamah mana boleh buat rakaman, padamkan! Awak hantar pada siapa?" kata Hakim Has Zanah.

Selepas itu kelihatan jurubahasa mahkamah dan beberapa anggota polis menghampiri penjamin berkenaan dan memeriksa telefon bimbitnya.

Pada pagi ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan pada 12.30 tengah hari tadi untuk mendengar permohonan itu secara dalam talian.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:03 PM