Suspek pemalsuan dokumen pesuruhjaya sumpah ditahan di sebuah homestay di Kedawang, Langkawi ditahan reman selama empat hari.
Suspek pemalsuan dokumen pesuruhjaya sumpah ditahan di sebuah homestay di Kedawang, Langkawi ditahan reman selama empat hari.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bermodalkan RM30 untuk satu cop, seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga kontraktor dikesan memalsukan cop pesuruhjaya sumpah untuk membuat tuntutan lebih RM1.5 juta kepada sebuah agensi kerajaan.

Suspek dilaporkan menggunakan cop palsu yang ditempah khas di Lumut, Perak untuk memalsukan sekurang-kurangnya lima dokumen berkaitan tuntutan pembayaran bagi projek penyelenggaraan sebuah agensi keselamatan di Langkawi, Kedah.

Kelicikan kontraktor itu berakhir apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi melakukan serbuan dan menahan suspek di sebuah inap desa di Kedawang kira-kira jam 1 pagi semalam.

Menurut sumber, insiden itu terbongkar apabila pegawai agensi keselamatan yang melakukan semakan terhadap dokumen tuntutan terbabit meragui statusnya.

"Suspek sudah hantar kira-kira 12 dokumen tuntutan pembayaran untuk khidmat penyelenggaraannya kepada agensi keselamatan itu.

"Bila kita semak, lima daripada dokumen tuntutannya yang sudah dibayar itu dipalsukan. Dia gunakan cop palsu pesuruhjaya sumpah," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku menempah khas cop berkenaan di Lumut.

"Beberapa dokumen lain yang dicop pesuruhjaya sumpah itu digunakannya untuk memalsukan cop berkenaan. Awalnya dia memang betul dapatkan cop pesuruhjaya sumpah yang dilantik, bila dia dapat contoh, dipalsukan pula cop itu," katanya.

Sumber berkata, pesuruhjaya sumpah sebenar yang nama dan copnya dipalsukan suspek sudah membuat laporan di IPD Langkawi, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai serbuan itu, sumber memaklumkan pihaknya merampas mesin pencetak, cop palsu, komputer riba dan dokumen palsu yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan penipuan dengan memalsukan dokumen dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat cop lain yang turut dipalsukan," katanya.

Shariman berkata, suspek kini direman empat hari bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 12:00 PM