ANTARA pelacur yang dilihat menjaja tubuh sekitar Jalan Pandan Indah, Ampang. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
ANTARA pelacur yang dilihat menjaja tubuh sekitar Jalan Pandan Indah, Ampang. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 1,972 individu ditahan termasuk warga tempatan dan asing kerana terbabit dalam kegiatan maksiat antara Januari hingga Oktober lalu.

Ia hasil usaha polis menggiatkan pemantauan dan serbuan lebih kerap selepas aktiviti pelacuran kembali rancak beroperasi selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP fasa 4).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, aktiviti maksiat terbuka dikesan kembali ke jalanan selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan di bawah PKP fasa 4 yang bertujuan memberikan peluang aktiviti ekonomi berjalan semula.

"Bagi mengatasi isu pelacuran yang kembali aktif, Unit D7 sentiasa memantau aktiviti ini melalui pelbagai kaedah bagi mengekang penularannya.

"Pada zaman kini, sindiket atau pelacur dikesan menggunakan medium iklan melalui media sosial untuk mengiklankan perkhidmatan," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Noor berkata, pihak D7 sentiasa memantau laman sesawang internet dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat aktiviti ini.

"Sejak sebelum PKP, semasa PKP dan sehingga sekarang, pihak polis terutama D7 terus berusaha memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahi undang-undang dan melakukan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP.

"Antara lokasi dan aktiviti menjadi tumpuan adalah pusat hiburan berlesen dibenarkan, pusat hiburan tanpa lesen dan aktiviti pelacuran," katanya.

Beliau berkata, segala perancangan termasuk risikan, maklumat dan aduan awam diambil kira dan diatur gerak tindakan.

"Op Noda bagi membenteras maksiat dilakukan setiap hari di peringkat daerah, kontinjen dan Bukit Aman bagi memerangi aktiviti maksiat.

"Dalam tempoh November tahun ini sahaja, seramai 180 individu ditahan (terbabit maksiat). Manakala dari Januari hingga Oktober, seramai 1,972 individu ditahan termasuk warga tempatan dan asing kerana terbabit dalam kegiatan maksiat," katanya.

Katanya, lokasi menjadi tumpuan kegiatan ini termasuklah premis hiburan, rumah urut, rumah tumpangan atau hotel, tempat awam serta premis lain.

"Sehubungan itu, kerjasama daripada masyarakat diperlukan untuk menyalur maklumat membanteras kegiatan maksiat," katanya.

Pelacur kembali aktif 'cari makan'

Kuala Lumpur: Aktiviti maksiat jaja tubuh yang disifatkan 'mati' serta hampir pupus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata meleset dan hanya bersifat sementara.

Peralihan Lembah Klang kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 18 Oktober lalu jelas diambil peluang oleh sindiket pelacuran dan pelacur-pelacur jalanan untuk muncul kembali dan meneruskan aktiviti 'jual tubuh.'

Kawasan 'panas' dan lubuk noda yang sebelum ini lengang sepanjang PKP tanpa kelibat pelacur tempatan mahupun golongan mak nyah didapati mula bernyawa kembali.

Ternyata kelonggaran diberikan kerajaan membabitkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuka lebih banyak sektor ekonomi menyebabkan golongan pekerja seks ini kembali ligat 'beraksi.'

Ini dibuktikan hasil tinjauan wartawan Harian Metro di sekitar ibu kota bagi melihat sendiri aktiviti pelacur jalanan selepas PKP dikendurkan.

Berdasarkan pemerhatian selama tiga hari, beberapa lokasi maksiat terbuka antaranya di Chow Kit, Jalan Pudu dan Jalan Pandan Indah, Ampang mula menjadi tumpuan.

Tinjauan di sekitar Jalan Pandan Indah, Ampang mendapati lokasi itu menjadi 'sarang' pelacur pondan yang berkeliaran di kaki lima premis seawal jam 8 malam hingga dinihari.

Mereka yang berpakaian mencolok mata selain mengenakan solekan tebal dilihat tanpa segan silu melambai tangan ke arah kenderaan yang melintasi kawasan berkenaan.

Ada antara mereka duduk bertenggek di atas motosikal atau berdiri tanpa menghiraukan keselamatan diri kemungkinan 'pelanggan' yang diambil dicemari virus Covid-19.

"RM50 je bang sekali 'service' (tawar seks songsang)," itu jawapan salah seorang mak nyah yang dihampiri ketika wartawan menyamar sebagai pelanggan.

Mereka mendakwa terpaksa mencari pendapatan selepas sekian lama terputus pendapatan susulan arahan PKP oleh kerajaan.

"Sebelum ini ramai berkurung di rumah bersama keluarga dan bimbang dijangkiti Covid-19. Namun kini mereka sudah divaksinasi dan berani merayau malam mencari 'ayam'," katanya.

Salah seorang penduduk di kawasan terbabit, Zainuddin Sahar, 45, berkata, kemunculan semula golongan pelacur dan mak nyah di kawasan itu dibimbangi boleh mencetuskan kluster Covid-19.

"Walaupun ramai mengeluh dengan PKP sebelum ini namun saya bersyukur apabila aktiviti maksiat terhenti. Kawasan ini bersih dari dosa. Malangnya kini kegiatan maksiat muncul semula," katanya.

Menurutnya, gejala negatif itu perlu dibenteras apatah lagi ia seolah-olah menarik golongan belia tempatan ke arah aktiviti seks songsang.

"Saya lihat sendiri ramai belia singgah di sini untuk tawar menawar sebelum dibawa melakukan hubungan seks di tingkat atas rumah kedai ini. Mereka (pelacur) menyewa bilik di kawasan ini bagi memudahkan kegiatan pelacuran ini dilakukan," katanya.

Salah seorang peniaga kaki lima di Chow Kit di sini, berkata, lokasi itu yang pernah sepi dari kegiatan pelacuran kembali 'hidup' apabila sudah ada golongan mak nyah yang berani memperagakan tubuh.

"Mereka (pelacur) sudah berani keluar 'cari makan'. Kalau dibiarkan, kawasan ini nanti akan penuh dengan pelacur dan pondan seperti sebelum Covid-19 melanda negara," katanya.

'Sorok-sorok' buat maksiat ketika PKP

Kuala Lumpur: Kekangan mengadakan program rawatan pemulihan khusus kepada golongan transgender pondan atau mak nyah secara bersemuka susulan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu menyebabkan ada kalangan mereka kembali ke 'lembah noda.'

Setiausaha Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) Zakwan Sawai berkata, kegiatan maksiat membabitkan golongan terbabit tidaklah terhenti sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ia dilakukan secara 'sorok-sorok.'

"Ada yang menggunakan platform media sosial untuk mencari pelanggan atau mengadakan parti persendirian. Malah, mereka gemar melakukan perbuatan zina itu di rumah sewa mereka," katanya.

Menurutnya, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan oleh kerajaan membuka peluang golongan ini kembali bebas berkeliaran mencari pelanggan.

"Tambah menggusarkan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong perbuatan mereka menyebabkan golongan ini semakin berani atas nama hak asasi manusia.

"Malah, kes membabitkan usahawan dalam buruan, Nur Sajat yang mendapat liputan meluas sehingga dia berjaya melarikan diri ke Australia seolah-olah memberi inspirasi kepada golongan ini," katanya,.

Beliau berkata, aktiviti rawatan pemulihan tidak serancak dua tahun lalu susulan pandemik Covid-19 menyebabkan program dirancang tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka.

Zakwan berkata, program secara dalam talian mungkin kurang memberi kesan kepada golongan ini kerana ia tidak dapat dihayati sepenuhnya berbanding bersemuka.

"Dalam masa terdekat ini, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan YIM akan mengadakan program khusus untuk golongan terbabit di Kuantan bagi membantu mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:01 AM