GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan dengan 4,896 kes dilaporkan hari ini berbanding 5,551 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,654,474 kes.

"Daripada kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 79 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 4,817 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 18 kes import turut dilaporkan hari ini membabitkan 13 kes warganegara dan lima kes bukan warganegara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,676 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 2,561,230 kes atau 96.5 peratus.

"KKM turut mencatatkan 490 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana daripada jumlah itu 358 kes disahkan Covid-19 dan 132 kes adalah kes dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 269 kes memerlukan bantuan pernafasan di mana 155 kes disahkan Covid-19 dan 114 kes adalah kes dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, KKM turut mengenal pasti empat kluster baharu di mana pertambahan kluster baharu itu menjadikan 5,969 kluster sudah dilaporkan setakat ini dengan 227 kluster masih aktif.

"Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

"Orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:29 PM