GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Seramai 32 penuntut dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini dikesan positif Covid-19 semalam membabitkan Kluster Intan Delima 2.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kes indeks itu membabitkan sebuah IPTA.

"Setakat semalam, 32 individu terdiri daripada penuntut dan pensyarah disahkan positif, bagaimanapun kesemuanya sudah dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Manakala seramai 105 lagi individu kontak rapat dikuarantin di institusi berkenaan sementara menunggu keputusan saringan Covid-19," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Faizal berkata, situasi ketika ini terkawal malah pihaknya sudah melakukan kawalan secara pentadbiran bermula semalam bagi mengelakkan penularan wabak itu.

"Pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi bertanggungjawab akan membuat pemantauan di lokasi dan tindakan kompuan akan dikenakan jika terdapat pihak yang ingkar," katanya.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan pertambahan satu kluster baharu membabitkan Kluster Intan Delima 2 di Kuala Pilah, menjadikan 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di negeri ini.

Sebelas kluster berkenaan ialah Industri Sungai Gemas; Industri Tiong; Jalan Seremban Tiga; Dataran Satria Dua; Tekir; Kepis Senaling; Jalan Putra Nilai; Jalan Bukit Rasah; Jalan Bandar Sri Serting; Intan Delima 2 dan Jalan Hutton.

Terdapat 181 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 108,958 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 1,277.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 11:14 AM