PENGAWAL keselamatan mengawal kenderaan yang keluar dan masuk ke SBP SSP. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENGAWAL keselamatan mengawal kenderaan yang keluar dan masuk ke SBP SSP. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Jumlah kes positif bagi kluster sekolah berasrama penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya, meningkat kepada 139 orang, sehingga 3 petang tadi.

Ia membabitkan seramai 114 pelajar, 15 orang guru dan 10 petugas sekolah.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman berkata, kesemua kes positif akan dirujuk ke di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).

Katanya, kontak rapat pula akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan.

"Kesemua 139 kes yang positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil serta berada dalam kategori 1 dan kategori 2A (bergejala tetapi berisiko rendah).

"PKD Sepang dan pihak sekolah juga akan bekerjasama rapat dalam menangani Kluster Persiaran Tasik ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PKD Sepang sehingga 3 petang tadi menyaring seramai 946 orang termasuk 849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas.

"PKD ini juga sudah melakukan saringan pada semalam ke atas 240 pelajar dan seramai 65 kes positif Covid-19 dikesan.

"Proses saringan itu diteruskan hari ini kepada 523 orang lagi yang terdiri dari 432 pelajar, 53 guru dan 38 petugas," katanya.

Dr Shaa'ri berkata, kes indeks adalah seorang guru sekolah itu yang didapati bergejala pada 22 November lalu dan disahkan positif dua hari kemudian.

"Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang guru maka kluster Covid-19 diumumkan pada Isnin lalu sebagai Kluster Persiaran Tasik.

"Kesemua enam pelajar itu sudah dirujuk ke PKRC Maeps manakala dua guru itu pula menjalani pengasingan di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:47 PM