Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO Bernama
Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta individu mendakwa adiknya yang menjalani latihan di sebuah kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuli dan dipukul senior, tampil memberi maklumat.

Beliau menerusi hantaran di Facebook miliknya turut memuat naik satu tangkap layar tertera luahan individu itu yang meminta bantuan di media sosial kerana bimbang keselamatan adiknya.

"Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM (mesej peribadi) butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

"Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan," katanya.

Hishammuddin turut memaklumkan Timbalan Menterinya sudah diarah untuk teliti perkara itu secara peribadi.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku sekiranya aduan individu terbabit didapati sahih.

Dalam hantaran individu berkenaan yang dipercayai dimuat naik di Twitter mendakwa adiknya bukan saja dipukul dan dibuli, malah wang simpanan habis diberikan dan dibelanjakan untuk sekumpulan senior.

Individu itu juga mendakwa sudah menghubungi polis meminta bantuan namun pihak berkuasa terbabit menasihati supaya membuat aduan kepada pihak kem.

Katanya, dia bimbang nasib adiknya akan menjadi seperti Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dicederakan enam penuntut lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:34 PM