LOKASI dua kanak-kanak ditemukan lemas. FOTO ihsan Bomba
LOKASI dua kanak-kanak ditemukan lemas. FOTO ihsan Bomba
Nurul Amanina Suhaini


Mersing: Perkelahan keluarga di Kampung Sisik Tanjung Resang, di sini, berakhir tragedi apabila dua kanak-kanak ditemukan lemas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asistan Superintenden Mohd Nor Mohd Isa berkata, kejadian berkenaan membabitkan dua mangsa iaitu Wester Carlos Pilip Wester, 4, dan Meredith Mcaela Alfread, 10, yang beralamat di Kem Iskandar Mersing.

"Kira-kira jam 6.35 petang semalam, polis menerima panggilan telefon dari orang awam menyatakan ada kejadian lemas membabitkan dua kanak-kanak di Lombong Pasir Kampung Sisik Tanjung Resang, di sini.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada tanda perbuatan jenayah.

"Mangsa bersama ibu, adik beradik serta jiran pergi ke lombong pasir berkenaan untuk berkelah.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing sejurus selepas kejadian, sebelum pegawai perubatan hospital mengesahkan mangsa mati akibat lemas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.16 petang sebelum menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, kanak-kanak berkenaan ditemukan oleh seorang daripada bapa mereka kira-kira 1.22 meter dari tebing dan anggota bomba melakukan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR), namun kanak-kanak itu tidak memberi maklum balas.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik tentera dan operasi ditamatkan 7.28 malam tadi," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:45 AM