Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penantian 32 tahun Kuala Lumpur City bergelar juara Piala Malaysia berakhir apabila berjaya menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jelas sekali taktikal pengendali Kuala Lumpur Bojan Hodak bertahan dahulu menyerang kemudian berhasil apabila berjaya memerangkap juara lapan kali Liga Super itu sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi terdahulu.

Lebih manis lagi kejayaan dikecapi Kuala Lumpur yang turun dengan barisan pemain agak terhad adalah pada ulang tahun ke-100 piala tertua di Asia Tenggara itu.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan lebih menguasai perlawanan dengan mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Malah penyerang JDT Bergson Da Silva hampir meletakkan Harimau Selatan di depan seawal minit ke-9 namun sepakannya terkena tiang sekali gus menyelamatkan pintu gol Kuala Lumpur.

Skuad The City Boy pula mengamalkan corak bertahan dan hanya beberapa kali mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Separuh masa kedua, Kuala Lumpur mula menunjukkan belang apabila mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan.

Ternyata tindakan Bojan yang mengubah taktikal kepada menyerang menjadi apabila pemain sayapnya Zharif Yahya berjaya menyumbat gol pertama perlawanan pada minit 67 untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, pengendali Harimau Selatan melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Nazmi Faiz, Corbin Ong, Mohamdou Sumareh dan Syafiq Ahmad untuk menambah sengat di bahagian serangan. Namun, Kuala Lumpur pula menambah derita JDT apabila penyerang importnya Paulo Josue berjaya menyumbat gol kedua pada minit 74 untuk skuad The City Boy mendahului 2-0.

Walaupun JDT terus mengasak kubu lawan untuk mencari gol bagi merapatkan jurang namun kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kuala Lumpur berjaya menjulang Piala Malaysia edisi ke-100.

ANNUAR meraikan kemenangan KL City bersama pemain dan pegawai.
ANNUAR meraikan kemenangan KL City bersama pemain dan pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 8:45 AM