SAHIBUL FADILAH AHADI. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
SAHIBUL FADILAH AHADI. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Penjualan pokok hiasan termasuk keladi eksotik pelbagai spesies pada harga yang mahal tidak bercanggah dengan ajaran Islam dengan syarat kedua-dua pihak bersetuju.

Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata, penjualan keladi pada harga mahal tidak salah kerana ia bukan berbentuk barangan keperluan asasi seperti makanan.

"Bergantung kepada pilihan dan kesediaan pembeli itu sendiri, jika sanggup membayar dengan harga yang mahal ditetapkan penjual tidak menjadi kesalahan di sisi agama.

"Selagi tiada elemen paksaan dan penganiayaan kepada pembeli ia tidak menimbulkan masalah dan bercanggah dengan ajaran Islam.

"Pembeli sudah sedia maklum dengan harga ditetapkan, jika pembeli sanggup membayarnya tiada masalah dan paling penting tiada paksaan dalam proses jual beli yang dijalankan kerana perbuatan memaksa pembeli membeli barangan dengan harga yang tinggi adalah batil dan tidak sah di sisi Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Harian Metro mengenai fenomena penjualan keladi eksotik dengan harga puluhan ribu ringgit sejak akhir-akhir ini.

Keladi pelbagai spesies termasuk topeng, mojito, milky way dan midnight yang dijual dengan harga RM10,000 hingga RM38,000 sepokok sehingga menjadi kegilaan dan buruan penjenayah.

Ahadi berkata, jualan barangan bukan keperluan itu bergantung kepada kesanggupan pembeli atau pengguna ketika berurusniaga.

"Bagi peminat keladi yang mempunyai wang, mereka tidak mempunyai masalah untuk membeli barangan yang diminati biarpun dengan harga yang mahal.

"Semua orang mempunyai minat dan hobi masing-masing, sebelum ini pernah heboh barangan antik yang dipungut di kawasan pelupusan sampah boleh dijual dengan harga ribuan ringgit.

"Oleh itu tiada masalah untuk berjual beli dengan harga yang tinggi asalkan ada kesediaan daripada kedua-dua pihak," katanya.

Tambahnya, barangan yang berbentuk makanan asasi seperti nasi yang menjadi keperluan manusia perlu dijual pada harga pasaran dan tidak boleh dijual terlalu mahal sehingga menzalimi pengguna.

"Barangan lain yang dirasakan mempunyai 'nilai sentimental' tersendiri diharuskan untuk dijual pada harga yang dirasakan relevan oleh pemiliknya dan ia tidak menjadi masalah.

"Semua orang tahu, keladi eksotik berharga tinggi kerana permintaannya yang meningkat. Oleh itu tidak hairanlah keladi yang selama ini berharga murah menjadi mahal sekarang," katanya.

Menurutnya, beliau berharap peniaga keladi ekostik menjual keladi mengikut harga yang sepatutnya dan tiada elemen penipuan dalam berurusniaga.

"Jual mahal dan sesuai dengan kualiti serta nilai barangan tiada masalah tetapi jika menjual mahal kerana ingin meraih keuntungan dan mengambil kesempatan ialah perbuatan yang berdosa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:00 AM