GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: "Waspada varian Omicron." Itu saranan pakar perubatan tempatan berhubung penularan varian baharu virus Covid-19 yang dikatakan lebih berbahaya berbanding varian terdahulu.

Susulan itu juga kerajaan memutuskan untuk melaksanakan larangan sementara bermula semalam 27 November ke Afrika Selatan serta beberapa negara lain seperti Botswana, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Perintah larangan berkenaan dikenakan kerana kebimbangan berhubung penularan virus Covid-19 daripada varian Omicron.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pakar masih belum mengetahui tahap kebolehjangkitan varian Omicron ini dan ciri-ciri varian berkenaan.

"Setakat ini, kita tidak tahu ciri-ciri khusus varian ini seperti bagaimana tahap kekuatannya, jangkitan dan pelbagai faktor lain sekali gus risiko itu perlu dikurangkan seminimum mungkin.

"Langkah pelaksanaan larangan sementara untuk beberapa negara ini adalah pendekatan proaktif kerana kita tidak mahu wujud kluster baharu membabitkan varian Omicron ini.

"Selain itu, maklumat terperinci berhubung data varian Omicron ini juga diperlukan oleh pakar tempatan untuk mengambil langkah susulan yang wajar," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Dr Zainal Ariffin berkata, kewujudan pelbagai varian ini berlaku kerana sifat semula jadi virus itu yang menyesuaikan diri mengikut keadaan maka tercetusnya pelbagai bentuk varian baharu daripada virus Covid-19 ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu meneruskan pemantauan berhubung varian baharu ini kerana ia mungkin lebih berbahaya daripada varian sebelum ini seperti Beta.

"Oleh itu, langkah untuk mengesan individu yang mempunyai sejarah lawatan ke negara berkenaan diperlukan kerana pastinya kita tidak mahu varian yang kita tidak ada data lengkap mewujudkan kluster baharu.

"Perkara seperti ini harus dielakkan dan langkah proaktif diperlukan untuk mendepani sebarang kemungkinan," katanya.


Saran panjangkan tempoh kuarantin

Kuala Lumpur: Penyelidik memerlukan masa untuk mengumpul bukti yang lebih kukuh seperti menjalankam ujian makmal, sekali gus mengenal pasti keupayaan varian Omicron bersifat 'pembunuh' atau sebaliknya.

Pakar Virologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Chee Hui Yee berkata, penyelidik perlu menjalani ujian untuk mengetahui sama ada antibodi dalam badan orang yang dijangkiti oleh varian lain dan yang divaksinasi boleh membunuh varian berkenaan atau menghalang varian itu untuk merebak.

Katanya, kerajaan boleh memanjangkan masa kuarantin dan menambahkan kekerapan untuk menjalani ujian RT-PCR terhadap pengembara.

"Pendekatan seperti menambahkan lagi kapasiti penjujukan genome (whole genome sequencing) dan menggunakan kit RT-PCR yang boleh mengesan mutasi berkenaan kalau penjujukan genome adalah terhad.

"Selagi virus menjangkiti orang iaitu perumahnya, virus akan bermutasi semasa replikasi kerana ini adalah ciri-ciri virus dan mutasi adalah secara rawak," katanya.

Menurutnya, ada mutasi menyebabkan virus itu menjadi lemah atau mati, ada kalanya mutasi itu menyebabkan virus itu menjadi lebih cepat menjangkiti orang (perumah), lebih patogenik, immune escape (maksudnya antibodi di dalam badan tidak dapat mengenai virus).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:00 AM