WANI kejar impian sebagai anak seni sentiasa cuba pelbagai perkara baharu.
WANI kejar impian sebagai anak seni sentiasa cuba pelbagai perkara baharu.
Najiy Jefri


Walaupun sudah sedekad mencanai bakat dalam industri hiburan, penyanyi Wani Kayrie sentiasa optimis dan berusaha keras untuk mencipta nama.

Mengakui kehadirannya belum cukup menyerlah dan meledak sepenuhnya, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, dia percaya waktu yang tepat pasti akan tiba.

Terbaharu, Wani yang kini bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment selepas membina nama dengan Suria Records tampil dengan single terbaharu berjudul Jangan Terlepas Pandang ciptaan MFMF dan Asyraf Nasir.

"Saya sedar masih ramai kurang mengenali nama Wani Kayrie. Namun, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam meneruskan kerjaya seni.

"Single Jangan Terlepas Pandang bergenre pop dansa ini umpama suara hati saya. Saya akui lebih matang dan berpendirian selepas hampir 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni.

"Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan. Namun, saya masih berharap untuk menjadi bintang utama dan tidak terlepas pandang," katanya.

Melihat perjalanan seni Wani, finalis program realiti TV Big Stage 2018 itu dilihat gigih mencuba pelbagai perkara baharu demi menempatkan diri dalam industri seni.

Tidak pernah 'penat' mengejar impian sebagai anak seni, Wani kini dilihat mencuba pelbagai cabang seni seperti pengacaraan dan lakonan selepas dikenali sebagai penyanyi.

KINI muncul dengan single Jangan Terlepas Pandang selepas bersama syarikat pengurusan Rocketfuel.
KINI muncul dengan single Jangan Terlepas Pandang selepas bersama syarikat pengurusan Rocketfuel.

Wani berkata, setiap selebriti perlu ada semangat juang tinggi sekiranya ingin berjaya dalam dunia hiburan yang penuh cabaran ini.

Kata, dia begitu mengagumi penyanyi antarabangsa seperti Beyonce, Jessie J dan Agnez Mo kerana menyifatkan mereka memiliki sifat yang disebutkan itu.

"Saya kagum dengan mereka dan menjadikan mereka sebagai inspirasi saya kerana semangat 'women's empowerment' yang dipamerkan setiap kali beraksi di pentas.

"Mereka bukan saja penyanyi, tetapi penghibur serba boleh dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali membuat persembahan dengan idea di luar kotak. Dalam erti kata lain saya tidak boleh cepat mengalah," katanya.

Wani juga tidak melupakan insan yang sentiasa menjadi peminat nombor satunya iaitu ibu tercinta yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.

"Ibu menjadi pendorong utama dalam kerjaya seni. Saya kagum semangat mama sebagai wanita yang cekal. Ini kerana terlalu banyak pengorbanan yang mama lakukan demi kerjaya saya," katanya.

Beralih mengenai keputusannya berpindah ke Rocketfuel selepas namanya sinomim dengan pengurusan Suria Records, Wani berkata, dia ingin mengubah haluan selepas berbincang secara baik.

"Saya bersyukur kerana pihak pengurusan Suria Records memberi lampu hijau dan merestui keputusan saya untuk ke Rocketfuel.

"Saya percaya pengurusan baharu ini akan memberi saya lebih banyak peluang baharu seperti sekarang ini. Alhamdulillah saya kini sibuk dengan penggambaran drama selain giat mempromosikan single Jangan Terlepas Pandang.

"Saya harap kehadiran saya bersama Rocketfuel akan lebih berjaya dan membawa saya ke satu tahap lain untuk saya terus cemerlang dalam industri seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:00 AM