Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebelum ini kehadiran mereka hanya untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan pembuatan.

Namun, tiada siapa menyangka warga asing terutama Bangladesh dan etnik Rohingya kini mampu bergelar 'tauke' dalam sektor padi dan beras di tujuh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Bermula dengan berkecimpung di dalam penanaman sayur seperti di Cameron Highlands, 'abang Bangla dan Rohingya' mula 'menguasai' jelapang padi negara dengan ada yang menjalani hidup mewah hasil aktiviti agronomi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, setakat ini pihaknya mengesan lebih 200 'petani import' didapati mengusahakan penanaman padi di negara ini.

Katanya, rekod mendapati jumlah warga asing yang bekerja sebagai pesawah paling ramai adalah di IADA Barat Laut, Selangor seramai 116 orang, Perak dan Pulau Pinang (34 orang), Rompin (15), Seberang Perak (8), Rompin (5) dan Ketara (Besut, Terengganu) seramai dua orang.

"Mereka ini terbabit dalam amalan agronomi termasuk aktiviti menuai, tapak semaian dan mekanisasi.

"Ada yang bermula dengan mengambil upah menabur benih, membaja dan meracun di mana mereka ini tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat atau agensi, malah bebas melakukan apa-apa perkhidmatan.

"Ia adalah satu senario tidak sihat kepada pekerja tempatan kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tidak mustahil mereka akan menguasai sepenuhnya sawah padi kita," katanya.

Azman berkata, mereka dipercayai masuk ke negara ini untuk melakukan pekerjaan di sektor lain sebelum ini, namun memilih berkecimpung di dalam industri padi dan beras disebabkan beberapa faktor.

Katanya, sebelum ini memang terdapat pemilik yang tidak mengusahakan sawah mengupah orang lain untuk penanaman, meracun dan sebagainya setiap kali musim padi, namun pembabitan warga Bangladesh dan etnik Rohingya kini seperti menjadi satu trend.

"Kita bimbang suatu hari nanti, mereka akan menjadi tauke sepenuhnya di dalam industri (padi dan beras negara) sedangkan ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Mafi dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan petani dengan pelbagai inisiatif terkini seperti pengenalan Smart Sawah Berskala Besar (SBB) dan pelbagai lagi.

"Di satu sudut lain, kita juga menumpukan kepada pengawalan jualan benih padi sah bagi memastikan kualiti benih untuk hasil yang optimum.

"Tetapi jika ini (kehadiran pesawah warga asing) tidak dibendung, sudah pasti petani tempatan tidak akan mendapat manfaat sewajarnya dan lama-kelamaan mereka pula memonopoli industri padi secara perlahan-lahan," katanya.

Azman berkata, maklumat setakat ini mendapati, warga asing berkenaan menyewa sawah terbabit pada harga RM6,000 sehektar, melebihi apa yang ditawarkan petani tempatan.

Menurutnya, hasil tanaman akan dijual kepada kilang menggunakan nama petani, namun hakikatnya ia adalah milik warga asing terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pekerja asing yang aktif di dalam industri terbabit berdasarkan senario semasa.

"Justeru kita akan berbincang dengan beberapa pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini demi masa depan industri padi dan beras negara yang lebih baik.

"Insya-Allah, saya yakin dengan pengenalan Smart SBB, ia boleh menjadi satu kaedah penyelesaian kepada banyak isu termasuk benih padi, industri hiliran, bekalan beras dan sudah tentu memberi pulangan maksimum kepada petani.

"Kita akan bawa isu ini kepada pihak berwajib yang terbabit seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyiasat dokumen perjalanan atau permit yang digunakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 12:00 PM