ISMAIL Sabri (kiri) pada sidang media bersama Joko Widodo di Istana Bogor. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (kiri) pada sidang media bersama Joko Widodo di Istana Bogor. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dijangka awal tahun depan.

Pelaksanaan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Joko Widodo dalam satu kenyataan bersama.

Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara sebelum boleh ditambah destinasi lain yang menunjukkan risiko yang rendah.

"Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang divaksinasi penuh bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

"Koridor perjalanan ini juga akan membabitkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini sempena lawatan rasmi beliau ke Indonesia.

Menurutnya, inisiatif itu akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara.

"Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.

"Saya dan Bapak Presiden berharap inisiatif ini dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan Malaysia mengenai sumbangan pekerja migran warga Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia.

"Saya memberi jaminan kepada Bapak Presiden, kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara.

"Contohnya, pada tahun lalu, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) diluluskan pindaannya yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat asing.

"Saya dan Bapak Presiden seterusnya mengambil maklum mengenai kemajuan proses bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia dan percaya isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat," katanya.

Menurutnya, Malaysia juga berharap supaya Program Rekalibrasi yang dilanjutkan oleh Malaysia sehingga penghujung tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia.

Selain itu, beliau turut menekankan Indonesia adalah rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 billion (RM65.06 bilion) pada 2020.

"Pada suku kedua tahun ini, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak AS$12.53 billion (RM52.02 bilion) dan pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 billion (RM4.82 bilion).

"Saya mengalu-ngalukan pelabur dari Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia.

"Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan ibu kota negara baru Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia 25 tahun yang lalu dengan pemindahan pusat pentadbiran daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau dan Jokowi berbincang dan mengambil maklum terdapat kemajuan dalam rundingan sempadan maritim antara kedua-dua negara.

"Dalam hal ini, saya memberi jaminan Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim ini.

"Kami bersepakat supaya usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan," katanya.

Menurutnya, mengenai perbincangan isu Laut China selatan, Malaysia berpendirian Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

"Malaysia berpegang teguh kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil.

"Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak kedaulatan dan kepentingan negara.

"Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif dan sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan 'universally recognised principles of international law' (prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf) termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982," katanya.

Ismail Sabri turut mengesahkan dua MoU dimeterai antara Malaysia dan Indonesia iaitu pertama MoU 'Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan' dan yang kedua, MoU mengenai 'Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam.'

"Pemeteraian kedua-dua MoU ini boleh sebagai satu lagi tanda kepada tahap hubungan baik yang lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

"Sebanyak lima MoU dan perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara.

"Pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan perjanjian ini bernilai AS$3.1 bilion (RM12.87 bilion)," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:17 PM