TENGKU Zafrul  (tengah) membawa laporan Bajet 2022 keluar dari Kompleks Kementerian Kewangan menuju ke Bangunan Parlimen. Bersamanya ialah Timbalan Menteri I Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri II Yamani Hafez Musa (kanan).vFOTO Bernama
TENGKU Zafrul (tengah) membawa laporan Bajet 2022 keluar dari Kompleks Kementerian Kewangan menuju ke Bangunan Parlimen. Bersamanya ialah Timbalan Menteri I Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri II Yamani Hafez Musa (kanan).vFOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera berjumlah RM332.1 bilion dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat .

Dengan didokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, bajet berkenaan kekal dengan tiga fokus induk iaitu Rakyat Yang Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.

Beliau berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Manakala, sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Antara yang menarik perhatian di dalam pembentangan bajet kali ini ialah kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.

"Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

"Oleh itu, untuk tahun 2022, BKM akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

"Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini ," katanya.

Selain itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima RM32.4 bilion untuk belanja mengurus dan pembangunan.

Kerajaan juga bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

"Bagi memastikan proses pengajian pelajar B40 terus terpelihara, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

"Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta. Insya-Allah, seramai 600,000 siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 5:08 PM