IMEJ labah-labah yang dirakam di dalam telinga Yi. FOTO Agensi
IMEJ labah-labah yang dirakam di dalam telinga Yi. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang wanita di Zhuzhou, China yang mengadu pendengarannya tidak selesa dikejarkan ke hospital bagi mengeluarkan seekor labah-labah kecil di dalam telinganya.

Wanita bernama Yi itu tinggal di selatan China, pergi ke hospital tempatan pada 18 Oktober lalu untuk menjalani pemeriksaan.

Berdasarkan video imbasan, seekor labah-labah kecil merayap di dalam telinga kiri Yi.

Haiwan itu merayap dan ia dapat dilihat dengan jelas imejnya menggunakan kamera khas.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Lu Guoli berkata, pesakitnya itu mengadu terdapat bunyi pelik di telinga kirinya.

"Pesakit datang ke hospital dan kami menggunakan kamera otoskop untuk memeriksa lebih lanjut keadaan telinga kirinya.

"Ketika kamera di masukkan ke dalam saluran telinga, kami menemui labah-labah merayap di kawasan berhampiran gegendang telinga pesakit," katanya.

Pakar itu kemudian mengeluarkan labah-labah berkenaan dari telinga Yi.

Dalam pada itu, Dr Li menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan hutan atau mendaki gunung.

Selain itu katanya, jangan menggunakan penyepit kecil atau putik kapas bagi mengorek telinga.

"Tindakan itu akan menyebabkan serangga masuk lebih dalam sehingga gegendang telinga.

"Ia berpotensi menyebabkan pesakit mengalami kecederaan dan kehilangan pendengaran," katanya seperti dilaporkan Daily Star.

Netizen yang menonton video itu berasa bimbang dan paranoid kejadian sama akan berlaku kepada mereka.

Seorang penonton berkata, dia sentiasa memegang telinganya ketika menonton video berkenaan.

"Ini sesuatu yang menakutkan dan apa berlaku jika labah-labah itu mula membuat sarang di dalam telinga," kata seorang lagi netizen.

Seorang lagi netizen menasihatkan orang ramai supaya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, ada netizen mengakui menggunakan putik kapas setiap kali telinganya berasa gatal.

Namun, selepas menonton video berkenaan dia tersedar tindakannya itu tidak tepat dan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:30 AM