Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jenazah pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini, kira-kira 2.20 petang ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam di sini dan tiba di kawasan perkuburan jam 1.50 petang.

Turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan adalah rakan artis antaranya, M Nasir bersama isteri, Datuk Awie, Zul Ariffin, Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Avaa Vanja, Mat London serta Raja Azmi Raja Sulaiman.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Datuk Khairul Anwar Salleh dan penceramah, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, awal pagi hari ini selepas pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan dengan isteri, Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:13 PM