Redzuan Muharam


Segamat: Bagi mengelakkan pembaziran dan memupuk amalan guna semula dalam kalangan kariah, Muhamad Mufarizam Yahir mencetuskan idea projek rak buku terpakai di Masjid Bandar Putra, di sini.

Muhamad Mufarizam, 38, selaku Penolong Setiausaha dan Ketua Biro Rakan Muda Masjid Bandar Putra berkata, projek itu bermula bulan lalu dengan rak berkenaan dibeli hasil jualan barangan kitar semula oleh pihak masjid.

Katanya, rak itu ditempatkan berhampiran pintu masuk ruang solat dan sehingga kini, kira-kira 500 buku dikumpul hasil sumbangan kariah.

"Idea melaksanakan projek ini tercetus hasil perbincangan saya bersama jawatankuasa masjid.

"Menyedari manfaatnya, kami semua sepakat untuk meneruskannya sebagai salah satu kesinambungan daripada projek sangkar kitar semula diadakan sebelum ini.

"Konsepnya mudah iaitu siapa yang berhasrat menyumbang hanya perlu letakkan buku terpakai itu di rak disediakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Mufarizam, tidak hanya menyumbang malah kariah dibenarkan mengambil buku di rak itu secara percuma.

Muhamad Mufarizam berkata, dengan cara itu, bahan bacaan yang masih dalam keadaan baik tidak disia-siakan.

"Kita dapati ada buku disumbang kariah masih dalam keadaan elok dan tidak koyak.

"Bagi segelintir individu, ia sudah tidak berguna dan mungkin boleh dibuang tetapi ada ramai sebenarnya yang perlukan bahan bacaan itu misalnya buku rujukan terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Jadi, projek ini sebahagian usaha pihak masjid mempelbagaikan bentuk sumbangan boleh diberikan oleh kariah dan secara tidak langsung membudayakan amalan membaca," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Mufarizam berkata, program jualan barangan kitar semula sambil menderma anjuran Masjid Bandar Putra pada bulan lalu meraih pulangan sebanyak RM1,154.29 melalui 1,900 kilogram (kg) barangan kitar semula pelbagai jenis.

Katanya, hasil jualan itu disumbangkan kepada 10 anak yatim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, di sini.

"Sebahagian hasil kutipan jualan disumbangkan kepada anak yatim terbabit dengan setiap seorang menerima wang tunai bernilai RM50 manakala selebihnya dimasukkan ke tabung masjid.

"Selain itu, masjid turut menyumbang bakul makanan mengandungi barangan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun dan lain-lain lagi.

"Satu lagi inisiatif kita giat laksanakan adalah projek minyak masak terpakai yang bukan hanya mengajak kariah menderma tetapi menyayangi alam sekitar," katanya.

FOTO: IHSAN MUHAMAD MUFARIZAM YAHIR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 11:43 AM