Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketiadaan dua tonggak muda, Arif Aiman Hanapi dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal tidak mencemaskan kem skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia Isnin ini.

Pengguguran dua bintang itu sememangnya mengejutkan selepas kedua-duanya sebelum ini sering menjadi pilihan utama pengendali pasukan, Brad Maloney dalam mana-mana aksi yang ditempuhi, selain Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal.

Arif Aiman dipercayai diketepikan kerana komitmen kelab manakala Wan Kuzri berkaitan isu pelajaran.

Jelas Maloney, skuad yang dibawa kali ini cukup seimbang dan memiliki kekuatan tersendiri serta mampu mengharungi kempen kelayakan dengan Malaysia di letakkan dalam Kumpulan J bersama Laos, Thailand dan Mongolia.

"Saya dapat rasakan pasukan ini masih lagi seimbang, kami memiliki beberapa pemain yang boleh turun dalam posisi berbeza dan selepas membuat persiapan lama, kami sangat teruja untuk menghasilkan keputusan positif di Mongolia," katanya.

Ketiadaan dua tonggak muda, Arif Aiman dan Wan Kuzri tidak mencemaskan kem skuad B-23.
Ketiadaan dua tonggak muda, Arif Aiman dan Wan Kuzri tidak mencemaskan kem skuad B-23.

Kelmarin, kem negara mengumumkan senarai 23 pemain terakhir dengan Luqman yang beraksi di Liga Belgium akan mengetuai jentera hadapan pasukan. Bagi memastikan ketiadaan Arif dan Wan Kuzri tidak dirasai, Maloney yang berasal dari Australia memanggil seorang lagi pemain di luar negara iaitu V Annil dari kelab SGV Freiberg di Jerman.

Di Mongolia, skuad negara menyasarkan untuk muncul sebagai juara kumpulan, di mana slot automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan pada tahun depan hanya disediakan buat 11 juara dari 11 kumpulan.

Empat naib juara terbaik turut layak selain Uzbekistan selaku tuan rumah melengkapkan senarai 16 pasukan.

Malaysia dijadual bertemu Laos pada Isnin depan diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia (28 Oktober) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand (31 Oktober) dengan semua aksi akan dilangsungkan di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:00 AM