Redzuan Muharam


Johor Bahru: Dijangkiti Covid-19 dan kehilangan bapa tiri, Sarwan Abd Majid akibat wabak berkenaan pada 4 Ogos lalu adalah episod duka dilalui peniaga ikan Abdul Rafeeq Ismail dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Bagaimanapun, pemuda itu menganggapnya sebagai ujian dan reda dengan ketentuan Ilahi walaupun perit.

Abdul Rafeeq juga enggan terus bersedih sebaliknya bangkit meneruskan perniagaan ikan dan makanan laut di Pasar Larkin, di sini, yang diusahakan arwah bapanya sejak sekian lama.

"Ikutkan, seluruh ahli keluarga saya dijangkiti Covid-19 pada Jun lalu dengan saya menjadi individu pertama menjalani ujian saringan sebelum positif dan dikuarantin.

"Alhamdulillah, saya dan ahli keluarga lain sembuh namun Allah lebih sayangkan ayah apabila meninggal dunia selepas lebih sebulan ditidurkan.

"Sedih namun saya perlu kuat dan kini membantu abang tiri (Saiful Anwar Sarwan, 25) menguruskan perniagaan arwah ayah bersama adik (Abdul Fareez Ismail, 21)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ABDUL Rafeeq meneruskan perniagaan arwah bapa tirinya, Sarwan. FOTO Ihsan Abdul Rafeeq Ismail
ABDUL Rafeeq meneruskan perniagaan arwah bapa tirinya, Sarwan. FOTO Ihsan Abdul Rafeeq Ismail

Berkongsi kisahnya sebagai peniaga, Abdul Rafeeq berkata, dia didedahkan dengan kerja di pasar sejak di sekolah menengah lagi.

Bagaimanapun, Abdul Rafeeq berhenti membantu arwah bapanya menjual ikan di pasar kerana menyambung pengajian di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Kuala Lumpur selepas tamat persekolahan.

"Saya sambung belajar sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Percukaian dan kemudian bantu arwah ayah uruskan perniagaan keluarga dengan menjual ikan di pasar.

"Tugas harian saya setiap hari adalah tarik pelanggan untuk datang ke kedai dan membeli. Dulu malu juga namun kini sudah biasa kerana dalam perniagaan ada persaingan jadi kita yang perlu berusaha tarik pelanggan untuk membeli," katanya.

Mengulas mengenai perkongsiannya di TikTok yang menarik perhatian ramai, Abdul Rafeeq berkata, dia mula aktif di TikTok sejak Jun lalu pada awalnya hanya memuat naik gambar dengan selingan lagu di platform itu.

"Selepas tamat kuarantin dan buka semula kedai , saya cuba rakam dan muat naik video rutin kerja di pasar .

"Tak sangka, ramai yang menonton dengan salah satu video meraih 10 juta tontonan.

"Alhamdulillah, kebanyakannya menyokong malah ada dalam kalangan pelanggan datang ke kedai memberitahu mereka adalah pengikut saya di TikTok," katanya.

ABDUL Rafeeq (kanan) membantu abangnya, Saiful Anwar   (kiri) bersama  adiknya, Abdul Fareez (tengah). FOTO Ihsan Abdul Rafeeq Ismail
ABDUL Rafeeq (kanan) membantu abangnya, Saiful Anwar (kiri) bersama adiknya, Abdul Fareez (tengah). FOTO Ihsan Abdul Rafeeq Ismail

Abdul Rafeeq bersyukur kerana rezekinya dan keluarga bertambah selepas video itu tular di TikTok walaupun turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurut Abdul Rafeeq, dia tidak bercadang untuk mencari pekerjaan lain sebaliknya akan terus membantu keluarga berniaga di pasar.

"Rutin kerja saya bermula awal iaitu selepas Subuh sudah ke pasar dan ada di sana hingga jam 2 petang.

"Jujurnya saya seronok dapat bertemu pelbagai jenis pelanggan, bersembang dan menarik mereka singgah ke kedai untuk membeli.

"Saya cuba layanan baik kepada setiap pelanggan dengan harapan mereka datang lagi dan setakat ini belum ada individu sekeliling yang memandang rendah pekerjaan saya.

"Bagi saya, tiada masalah jika ada anak muda mahu bekerja di pasar jika mereka berminat malah pendapatan boleh jadi lebih banyak jika rajin serta ada kemahiran menjual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:11 PM