ISTANA Raja Muda. FOTO Sharul Hafiz Zam
ISTANA Raja Muda. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Lebih enam dekad lalu istana lama ini pernah menjadi singgahsana rasmi bagi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak Darul Ridzuan di Teluk Anson yang kini dikenali Teluk Intan.

Bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda terletak di Jalan Syed Abu Bakar di sini menjadi tempat Raja Muda Perak yang pertama bersemayam iaitu Almarhum Raja Muda Abdul Aziz yang kemudiannya menjadi Sultan Abdul Aziz al-Mu'tasim Billah Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Perak yang ke-31.

Dibina pada 1922, ironinya ia adalah sebahagian warisan sejarah Kesultanan Perak yang perlu terus dipulihara untuk tatapan generasi baru.

Pengerusi Jejak Warisan Teluk Intan Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, berdasarkan kajian dan pembacaannya istana berkenaan adalah istana rasmi bagi Raja Muda Perak Darul Ridzuan suatu ketika dahulu.

PEMANDANGAN Istana Raja Muda yang terletak di Jalan Syed Abu Bakar ketika tinjauan dari udara. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEMANDANGAN Istana Raja Muda yang terletak di Jalan Syed Abu Bakar ketika tinjauan dari udara. FOTO Sharul Hafiz Zam

Menurutnya, sebagai sebuah istana bagi Raja Muda, Teluk Anson pada ketika itu juga digelar sebagai bandar diraja.

Katanya, antara aktiviti yang pernah diadakan di istana itu ialah menerima kedatangan Gabenor Jeneral Malayan Union, Sir Malcolm MacDonald ke Teluk Anson pada 1947 dan beliau diraikan oleh Sultan Perak ke-32 iaitu Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah yang ketika itu bergelar Raja Muda.

"Antara perayaan terbesar yang pernah diadakan di sini ialah majlis perkahwinan pada 1 Ogos 1963 di antara Raja Aminah yang merupakan puteri kedua kepada Raja Muda Perak ketika itu iaitu Raja Muda Musa (Raja Muda Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Al-Mustasim Billah Shah Nikmatullah) dengan Leftenan Tengku Ibrahim, putera kedua Sultan Pahang.

"Majlis berlangsung meriah dimulakan dengan 15 das tembakan meriam menandakan bermulanya letak kerja majlis yang diketuai oleh Kadi Teluk Anson, Haji Abdul Kahar Abdul Jabar.

"Majlis perkahwinan berlangsung meriah dengan ramai tetamu kenamaan daripada seluruh negara hadir bagi meraikan pengantin diraja," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

KEADAAN bahagian dalam istana yang sudah dipenuhi semak-samun. FOTO Sharul Hafiz Zam
KEADAAN bahagian dalam istana yang sudah dipenuhi semak-samun. FOTO Sharul Hafiz Zam

Iskandar Zulqarnain yang juga Setiausaha Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak berkata, sepanjang penggunaannya bangunan itu turut menjadi istana untuk beristirahat buat Sultan Perak ketika melawat daerah Hilir Perak.

Katanya, Raja Muda Perak terakhir bersemayam di istana berkenaan adalah Almarhum Raja Muda Ahmad Siffuddin ibni Almarhum Sultan Iskandar sehingga kemangkatan baginda pada 1987.

Menurutnya, kemudian kediaman rasmi Raja Muda berpindah ke Istana Tetamu di Ipoh dan sejak itu, istana berkenaan ditinggalkan.

Jejak Warisan Teluk Intan pada 2020 juga membina sebuah papan tanda informasi sejarah bagi menerangkan sejarah istana berkenaan.

KEADAAN bahagian dalam Istana Lama Raja Muda Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
KEADAAN bahagian dalam Istana Lama Raja Muda Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Teluk Intan Aimy Nabilla Mohamad Yusof berkata, istana lama berkenaan sebahagian simbol pemerintahan diraja di Teluk Intan yang wajar dipulihara dan pelihara sebagai warisan negeri.

Menurutnya, istana lama berkenaan juga boleh dijadikan sebagai pakej pelancongan warisan seperti Menara Condong Teluk Intan yang sudah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

"Justeru pada pendapat saya istana ini boleh dijadikan sebagai lokasi pelancongan warisan, malah jaraknya dengan Menara Condong juga tidak jauh kira-kira tiga hingga empat kilometer (km) saja.

"Malah, ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat dengan penambahan produk pelancongan di Teluk Intan kerana pelancongan warisan juga mempunyai peminatnya tersendiri," katanya.

Menurutnya, persatuan cakna dengan isu setempat dan berharap ada jalan penyelesaian terbaik untuk mengekalkan istana ini supaya ia tidak lenyap dan hanya tinggal sebagai catatan sejarah.

LALUAN pintu masuk utama ke istana lama. FOTO Sharul Hafiz Zam
LALUAN pintu masuk utama ke istana lama. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 7:05 AM