KERANDA teralih daripada tanah perkuburan. FOTO Fox8
KERANDA teralih daripada tanah perkuburan. FOTO Fox8
Agensi

New Orleans: Keadaan di sekitar Ironton, Louisiana di selatan Amerika Syarikat yang terjejas akibat Taufan Ida belum pulih sepenuhnya.

Taufan yang membadai perairan Louisiana penghujung bulan lalu menyebabkan banjir besar yang menghanyutkan rumah dan keranda serta memusnahkan bangunan.

Walaupun hampir empat minggu taufan kategori empat itu melanda kawasan berkenaan namun keranda dilihat masih lagi berselerakan selepas teralih dari tanah perkuburan.

Penduduk sibuk membersihkan dan menyelamatkan barangan dari rumah mereka.

"Ia menyebabkan penduduk kacau-bilau," kata paderi St Paul Missionary Baptist Church di Ironton, Haywood Johnson.

Berkongsi kepada CNN, Johnson, 74, berkata, dia dilahirkan dan dibesarkan di situ dan sudah 22 tahun menjadi paderi gereja itu.

Sambil merujuk kepada kebanyakan keranda yang berselerakan itu, beliau berkata, semua masyarakat kulit hitam di situ sangat erat dan keluarga mereka tinggal di situ sejak beberapa generasi.

"Antara perkara mengganggu fikiran saya kerana saya yang mengebumikan kebanyakan daripada mereka itu.

"Saya masih mencari keranda ibu, bapa saudara dan adik saya.

"Namun, kerja-kerja mencari (keranda) orang tersayang semakin sukar kerana seluruh kawasan ini dipenuhi rumput tinggi, lumpur paya dan ular," katanya.

Pasukan Petugas Tindak Balas Perkuburan Louisiana dan kontraktornya berada di Ironton pada Selasa untuk melihat keperluan dalam usaha mengembalikan semula keranda itu di tempat asal.

"Ia bukan sesuatu yang kamu boleh lakukan tanpa peralatan berat kerana sesetengah keranda besi itu beratnya bertan-tan," kata pengerusi pasukan itu, Ryan Seidemann.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:30 AM